Kaedah penanaman semula kelapa sawit tanpa membakar kebun menjadi perhatian selepas seorang pengguna Threads berkongsi pengalamannya mengenai amalan yang digunakan oleh pekebun kecil di Malaysia.
Menerusi perkongsian di Threads, pengguna annamalai_chandramurkhi menjelaskan bahawa pekebun sawit tempatan lazimnya tidak membakar kebun apabila mahu menanam pokok baharu.
Sebaliknya, katanya, mereka menggunakan kaedah suntikan racun pada pokok lama bagi mengurangkan kos, manakala batang sawit dibiarkan mereput secara semula jadi dan berpotensi menjadi baja.

“Orang Malaysia tidak membakar kebun sawit apabila mahu menanam pokok baharu. Biasanya, mereka menyuntik racun dan kaedah itu lebih menjimatkan kos. Batang sawit pula akan mereput sendiri dan menjadi baja semula jadi.
“Hidup pekebun kecil, hidup sawit Malaysia,” tulisnya sambil berkongsi gambar kebun sawit milik bapanya yang dijadikan latar belakang telefon.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna, bazli_zamri, berkongsi kaedah menggunakan racun rumpai glufosinat ammonium dengan membuat lubang pada batang pokok pada sudut 45 darjah supaya racun dapat diserap hingga ke bahagian pucuk.
Sementara itu, luqman_hakim1990 menyebut kaedah penanaman bawah atau underplanting dan mencadangkan penggunaan jentera seperti jengkaut untuk mengalihkan batang pokok yang sudah mereput demi keselamatan.
Pengguna sufioloogy pula berkongsi kaedah lain menggunakan produk racun yang dinamakan Ken-Up dengan membuat lubang pada bahagian pangkal dahan sebelum menuangkan racun berkenaan.
Dalam pada itu, komen seorang pengguna, iza_lee_zahra, mengundang perhatian apabila berseloroh mengenai betapa pantas perubahan yang dilihatnya setiap kali melalui kawasan kebun sawit.
“Namun, cepat betul kerja dibuat. Hari-hari lalu di sebelah ladang sawit, hari ini sudah lapang. Esok lalu, pokok sudah ditanam. Lusa lalu, macam sudah besar pula.
“Rasanya macam baru semalam kawasan itu gondol. Aku sahaja ke yang rasa macam ini setiap kali lalu?” tulisnya.
Seorang lagi pengguna, imnannaaaaa_, turut meninggalkan komen yang menyentuh hati apabila menyifatkan gambar kebun sawit itu lebih daripada sekadar hiasan telefon.
“Wallpaper bukan sekadar wallpaper. Ini wallpaper yang menjadi sumber pendapatan keluarga,” katanya.

