Siakap Keli
Aktiviti luar bilik darjah dibenarkan
Kredit Sinar Harian

Aktiviti Luar Bilik Darjah Kini Dibenarkan Semula – KPM

Aktiviti Luar Bilik Darjah Kini Dibenarkan Semula – KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada hari ini mengumumkan kebenaran untuk pelaksanaan aktiviti luar yang ditangguhkan pada sebelum ini susulan cuaca panas.

Memetik Sinar Harian, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Dr Norisah Suhaili berkata kebenaran tersebut telah berkuat kuasa pada Selasa lalu.

Kebenaran itu diumumkan Dr Norisah menerusi surat siaran dan garis panduan yang telah dikeluarkan.

“Mengambil kira situasi terkini, KPM membenarkan semula pelaksanaan aktiviti luar dengan memastikan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru. Serta anggota kumpulan pelaksana semasa berhadapan dengan fenomena cuaca panas terjamin,” katanya.

Garis Panduan Aktiviti Luar Institusi yang dikeluarkan oleh KPM itu menetapkan bahawa aktiviti luar bilik darjah boleh dilaksanakan.

Namun pelaksanaan aktiviti tersebut mesti dilakukan di dalam suhu kurang 35°C termasuk langkah kawalan dan tahap berjaga-jaga.

Segala aktiviti diadakan secara sukarela dan mendapat kebenaran ibu bapa pelajar

Selain itu, penyertaan murid di dalam aktiviti luar bilik darjah tersebut adalah dilaksanakan secara sukarela dan mendapat kebenaran daripada ibu bapa pelajar.

Kemudahan seperti kanopi, ais dan tuala basah perlu disediakan oleh pihak sekolah di bawah garis panduan tersebut.

Dalam pada itu, murid juga digalakkan untuk membawa air minuman dan sentiasa minum air sebelum, semasa dan selepas setiap aktiviti diadakan.

Sementara itu, pelaksanaan aktiviti tersebut turut perlu membuat penyesuaian tempoh waktu mula dan tamat. Ia seiring dengan perubahan cuaca persekitaran sewaktu aktiviti dijalankan.

Peneranan kepada murid berkenaan langkah pencegahan, simptom dan rawatan sekiranya mengalami gejala fenomena cuaca panas juga perlu diberikan sebagai pendedahan.

Garis panduan itu turut menyatakan bahawa jika suhu melebihi 35°C, maka segala aktiviti luar yang sedang berlangsung perlu ditangguhkan segera.

BACA: Apa Maksud ‘kPa’ Pada Vakum, Ini Nilai Minimum Kalau Nak Sedutan Yang Kuat

Pada 4 Mei lalu, KPM telah mengeluarkan arahan agar semua institusi pengajian perlu menangguhkan aktiviti luar yang membabitkan murid, guru dan pensyarah. Arahan itu susulan daripada fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara kita.

Dalam arahan tersebut, larangan termasuk dalam aktiviti merentas desa, kawad, sukan, permainan, perkhemahan serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di luar bilik darjah.

Sumber: Sinar Harian 

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka