“Macam Nat Geo Wild..”, Lelaki Rakam Momen Sekumpulan Gajah Liar Di Kota Tinggi
Gajah Malaysia atau lebih dikenali sebagai Elephas maximus merupakan subspesies Gajah Asia yang tinggal di Semenanjung.
Untuk yang tidak mengetahui, mamalia darat ini mempunyai keunikan di mana ia dapat mengesan lokasi air sejauh 12 batu (19 kilometer).
Lebih unik, waktu tidur gajah juga adalah sedikit berbanding manusia iaitu dua hingga tiga jam sehari dan selebihnya digunakan untuk mencari sumber makanan, menurut Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Rekod pada Hari Gajah Sedunia 2022, populasi gajah di Malaysia dianggarkan antara 1,220 hingga 1,680 ekor, berdasarkan laporan Elephant Trade Information System (ETIS).
Baru-baru ini, seorang jurugambar berkongsi rakaman gajah liar yang ditemui di Kota Tinggi dekat Johor.
Gajah berkeliaran di sebelah lebuh raya
Kaiba Matsu (@ridzkazama) menerusi laman TikTok mengambil peluang memuat naik video tersebut kerana mahu menunjukkan aktiviti dan keadaan haiwan yang terancam itu pada ketika ini.

Dalam video tersebut, boleh dilihat sekumpulan gajah sedang berjalan di dalam hutan melalui celah-celah semak dengan perlahan.
Dron yang diterbangkan kemudian dirapatkan kepada dua ekor gajah yang tertinggal di belakang kumpulan yang besar.
Peralatan canggih itu mengikuti jejak langkah gajah dan merakam momen mereka menelusuri jalan-jalan di hutan tersebut.

Gajah berwarna cerah itu kelihatan tenang walaupun dron diterbangkan di atas namun ia tidak mengganggu hari mereka.
Hutan tersebut berada di tepi lebuh raya namun kehadiran gajah itu kemungkinan tidak disedari ramai kerana ditelenggami dengan dedaun hijau di persekitarannya.
BACA: Tersangkut Dalam “Jam”, Pemilik Guna Gajah Peliharaan Bantu Alih Pokok Tumbang Halang Jalan
Temui gajah ketika berada di lebuh raya
Katanya, dia bertemu dengan gajah tersebut ketika dalam perjalanan menuju ke pantai melalui Jalan Mawai pada Hari Keputeraan Agong, pada Isnin lalu.
“Tak sangka terjumpa pula di tepi jalan. Dari jauh nampak dalam kumpulan yang besar.
“Jadi kawan keluarkan dron dan rakam ‘khazanah’ negara ini dari jarak jauh,” tulisnya di Facebook.
Bagaimanapun, Kaiba Matsu tidak mendedahkan lokasi sebenar kerana risau ia akan mengganggu keselamatan haiwan liar tersebut.
Komen warga maya
Video tersebut meraih perhatian warga maya susulan jarang melihat atau mengetahui kemas kini mengenai populasi mereka.
Walaupun video itu berdurasi tidak sampai dua minit, namun suasana tenang itu berjaya menambat hati warga maya.

Sesetengah mereka turut berharap agar mamalia darat itu membiak dalam keadaan baik dengan cuaca pada ketika ini.
Sekiranya haiwan itu pupus maka populasi di Malaysia akan berkurangan dan ia juga memberi kesan kepada khazanah negara.

Dalam pada itu, mereka turut berterima kasih kepada Kaiba Matsu kerana berpeluang merakam aktiviti haiwan yang terancam itu dan menyiarkannya di media sosial.
Saksikan video penuh di bawah ini.
@ridzkazama Rezeki petang,sekumpulan gajah liar melintas jalan. #gajahliar #hariagong #hiddengems #elephant #hiking #dronevideo #fypシ゚viral #fyppppppppppppppppppppppp #kaibamatsuphotography #foryou
Sumber: @ridzkazama/TikTok, Perhilitan
BACA: Gara-gara Tidak Disapa ‘Baby’, Lelaki Mengamuk Baling Makanan