Siakap Keli
duduki exam kali ke 27
Kredit SCMP

Tak Luntur Semangat, Lelaki 56 Tahun Tekad Duduki “Exam” Masuk Universiti Buat Kali Ke-27

Tak Luntur Semangat, Lelaki 56 Tahun Tekad Duduki “Exam” Masuk Universiti Buat Kali Ke-27

Seorang lelaki di China dilaporkan sekali lagi bakal mencuba nasib dengan menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti buat kali ke 27 demi mencapai impiannya, lapor The Straits Times.

Lelaki bernama Liang Shi, 56, anak kelahiran Sichuan itu dipercayai akan menduduki peperiksaan tersebut pada hari ini.

Pada tahun 1983, Liang telah menduduki ujian kemasukan atau dikenali sebagai gaokao dalam masyarakat China. Namun cubaan pertama kalinya itu telah gagal.

Dia kemudian mencuba lagi pada dua tahun seterusnya dan masih lagi tidak berjaya.

Pada tahun 1986, ibu bapa Liang Shi cuba memujuknya untuk pergi ke sekolah teknik. Namun, Liang berhenti selepas hanya setahun memasuki sekolah berkenaan.

Menurutnya, dia tidak mahu bekerja dengan mesin yang berbunyi bising lalu menyiapkan dirinya untuk ujian kemasukan sekali lagi.

Pada tahun 1991, dia mula bekerja di sebuah kilang kayu dan mendirikan rumah tangga. Impiannya untuk lulus gaokao masih tersemat di fikirannya dan dia masih tidak berputus asa.

Pada tahun 1992, dia meneruskan gaokao dan menduduki ujian itu bagi kategori dewasa kerana had umur telah melepasi bagi kemasukan kategori remaja.

Liang Shi berjaya melepasi ujian itu dan berjaya diterima masuk ke Universiti Perhutanan Nanjing.

Namun keputusan itu tidak seperti yang diharapkan oleh Liang Shi, jadi dia terpaksa menolak tawaran kemasukan itu.

Pada tahun yang sama juga dia telah diberhentikan kerja. Demi menyara keluarganya, dia kemudiannya bekerja sebagai jurujual. Sebagai jurujual, dia menjual pakaian, peti sejuk, televisyen dan perkakasan.

Liang Shi akhirnya membuka sebuah kilang bahan binaan dan memperoleh 1 juta yuan (RM646,000) dalam masa kurang setahun penubuhan kilangnya.

Pada tahun 2001, Kementerian Pendidikan China membatalkan had umur untuk menghadiri gaokao. Mendengar pengumuman itu, Liang mula membaca buku-bukunya untuk ulang kaji.

Oleh kerana sibuk dengan perniagaannya, dia hanya sempat menduduki peperiksaan tersebut pada 2002 dan 2006 sahaja.

Namun bermula 2010 hingga 2022, Liang Shi mengambil keputusan untuk menduduki peperiksaan itu selama 13 tahun berturut-turut.

Kredit China Daily

Liang Shi dilaporkan berjaya mencatat 469 mata daripada jumlah keseluruhan 750 pada 2018 dan itu merupakan skor terbaiknya sepanjang menduduki peperiksaan tersebut.

Matlamat utama Liang Shi menduduki ujian itu adalah untuk masuk ke Universiti Sichuan, sebuah universiti Double First-Class.

Percubaannya berulang kali itu telah mendapat pujian dan disambut dengan pelbagai respon yang baik.

Anak lelakinya yang mengambil ujian yang sama pada 2011 telah lulus dan berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjananya.

Beberapa netizen mengatakan bahawa Liang hanya membuang masa dan tenaga. Namun kritikan itu tidak sedikit pun melunturkan semangat Liang Shi.

“Setiap orang mengejar perkara yang berbeza. Anda tidak boleh mengatakan siapa yang betul dan siapa yang salah. Selagi undang-undang mengizinkan, ia adalah munasabah,” kata Liang Shi.

Untuk ujiannya pada hari ini, Liang Shi hanya mahu merealisasikan impiannya secepat mungkin, jadi dia memutuskan untuk tidak menetapkan matlamatnya di Universiti Sichuan.

“Saya hanya akan terima universiti utama. Jika markah saya mencukupi untuk universiti sasaran saya, saya akan menghadirinya,” katanya.

Sumber: The Straits Times

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka