Siakap Keli
empat kanak-kanak hidup terhempas
SUMBER: AFP

Empat Kanak-kanak Termasuk Bayi Ditemui Hidup, 40 Hari Selepas Kapal Dinaiki Terhempas

Empat Kanak-kanak Termasuk Bayi Ditemui Hidup, 40 Hari Selepas Kapal Dinaiki Terhempas

Empat orang kanak-kanak termasuk seorang bayi dari etnik orang asli ditemui selamat, 40 hari selepas pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas di Hutan Amazon, lapor AFP.

Memetik laporan media, keempat-empat mangsa yang diselamatkan kini di bawah pemantauan doktor sebelum keadaan sebenar kesihatan mereka diketahui.

Kanak-kanak tersebut, Cristian Neriman Ranoque Mucutuy ,11 bulan, Tien Noriel Ronoque Mucutuy , 4, Soleiny Jacobombaire Mucutuy, 9, dan Lesly Jacobombaire Mucutuy , 13, berasal dari komuniti Orang Asli Huitoto.

Presiden Columbia, Gustavo Petro dalam satu kenyataan berkata, kisah kanak-kanak tersebut adalah contoh kelangsungan hidup yang akan tercatat dalam sejarah.

Terdahulu, keempat-empat mereka merupakan sebahagian daripada penumpang pesawat yang terhempas di dalam hutan tebal di selatan Caqueta, Columbia pada 1 Mei lepas. Ketika kejadian, mereka menaiki pesawat tersebut bersama tiga orang dewasa yang kesemuanya terkorban.

Empat Kanak-kanak Termasuk Bayi Ditemui Hidup, 40 Hari Selepas Kapal Dinaiki Terhempas

Pasukan penyelamat berjaya menemui bangkai pesawat berkenaan bersama mangsa yang terkorban, namun gagal mengesan keempat-empat kanak tersebut.

Antara mangsa yang terkorban adalah Ranoque Mucutuy, iaitu ibu kepada empat kanak-kanak berkenaan.

Dua minggu selepas tragedi itu berlaku, pasukan penyelamat berjaya menemui bukti yang menunjukkan kumpulan kanak-kanak tersebut berkemungkinan masih hidup.

Dalam misi pencarian tersebut, mereka menemui pondok yang dibina daripada kayu hutan, sisa buah-buahan yang dimakan serta getah rambut kanak-kanak.

Sejak itu, pasukan penyelamat gigih melaksanakan operasi mencari menyelamat yang melibatkan penggunaan pelbagai aset termasuk aset udara.

Bagaimanapun, operasi berdepan kesulitan ekoran keadaan hutan yang tebal, hujan lebat dan juga ancaman hidupan liar. Malah, usaha mengesan lokasi nahas dari udara juga sukar akibat pemandangan dibatasi pokok-pokok yang menjangkau ketinggian 40 meter.

Operasi mencari dan menyelamat itu turut melibatkan penyertaan tiga buah helikopter. Salah sebuah helikopter tersebut digunakan untuk memancarkan mesej suara nenek kepada empat kanak-kanak tersebut yang direkodkan dalam bahasa etnik Huitoto.

Mesej suara itu antara lain meminta keempat-empat kanak-kanak tersebut berhenti bergerak di dalam hutan tersebut bagi memudahkan usaha menyelamat.

BACA: Empat Kanak-kanak Mangsa Pesawat Terhempas Dipercayai Masih Hidup

Sumber: NBC NEWS/AFP

Mohd Raimi Ismail

peace on earth