Siakap Keli
empat beradik hutan
Gambar: AFP

Tahu “Survival Skill” Di Hutan, Empat Beradik Makan Akar & Tumbuhan Untuk Teruskan Hidup

Tahu “Survival Skill” Di Hutan, Empat Beradik Makan Akar & Tumbuhan Untuk Teruskan Hidup

Baru-baru ini gempar mengenai empat beradik yang bertahan hidup di hutan Amazon selama 40 hari selepas pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas.

Memetik laporan Daily Mail, anak sulung, Lesly yang berusia 13 tahun menjadi watak penting yang berusaha memastikan mereka  semua untuk terus hidup.

Ibu saudara mereka, Damarys Mucutuy  berkata bahawa ‘permainan’ kelangsungan hidup yang telah dipelajari sebelum ini telah mempersiapkan mereka untuk menghadapi situasi seperti itu.

Menurutnya, Lesley dan adiknya Soleinya, 9, kerap bermain permainan itu dengan menubuhkan satu kem kecil.

BACA: Empat Kanak-kanak Termasuk Bayi Ditemui Hidup, 40 Hari Selepas Kapal Dinaiki Terhempas

“Lesly tahu buah apa yang dia tidak boleh makan kerana terdapat banyak buah-buahan beracun di dalam hutan. Dia juga tahu cara menjaga bayi,” katanya.

Menerusi beberapa gambar yang dikeluarkan oleh tentera, ikatan atau riben rambut juga kelihatan di kawasan kem yang dibina mereka. Ia adalah milik Lesly dan digunakan untuk mengikat tempat mereka berteduh itu.

Sementara itu, nenek mereka, Fatima Valencia berkata bahawa dia sangat bersyukur kerana kesemua cucunya selamat.

Tambahnya, Lesly sudah biasa menjaga adik-adiknya yang lain ketika ibu mereka bekerja dan ia membantu untuk bertahan di dalam hutan.

empat beradik hutan
Gambar: AFP

Ketua Kumpulan Guanano di Vaupes, John Moreno pula berkata kesemua kanak-kanak itu mempunyai kemahiran kelangsungan hidup yang tinggi.

“Mereka menggunakan apa yang mereka pelajari dalam masyarakat, bergantung kepada pengetahuan nenek moyang mereka untuk terus hidup,” katanya.

Mereka dipercayai memakan biji, akar dan tumbuhan yang mereka tahu selamat untuk dimakan, lapor AFP.

BACA JUGA: Ais Di Lautan Artik Diramal Cair Pada 2030, Sedekad Lebih Awal Berbanding Jangkaan Sebelum Ini

 

Kesemua kanak-kanak terbabit telah menerima rawatan di sebuah hospital tentera di ibu negara Bogota selepas mereka diselamatkan.

Dalam pada itu, Presiden Gustavo Petro meraikan berita itu sebaik pulang dari Cuba. Beliau menggelarkan mereka sebagai ‘contoh kelangsungan hidup’ dan meramalkan bahawa kisah mereka akan terpahat dalam sejarah.

Terdahulu, pesawat ringan yang dinaiki mereka itu telah terhempas pada 1 Mei lalu. Kejadian itu telah mengorbankan kesemua penumpang lain termasuk ibu kepada kanak-kanak tersebut.

Mereka berjaya diselamatkan pada Jumaat lalu oleh pihak berkuasa di negara Amerika Selatan itu.

Sumber: Daily Mail, AFP Via Barrons

Ezzatul Syafiqah