Siakap Keli
Anggota badan lelaki Russia
Kredit East2West News

Mayat Lelaki Rusia Ditemui Dalam Perut Jerung

Mayat Lelaki Rusia Ditemui Dalam Perut Jerung

Anggota badan seorang lelaki Russia dilaporkan ditemui dalam perut seekor jerung dalam kejadian di pantai sebuah pusat peranginan di Mesir.

Memetik Daily Mail, jerung yang menyerang lelaki terbabit didakwa telah ditangkap dan dipukul sehingga mati sebelum membawa kepada penemuan tersebut.

Sebelum ini dalam sebuah video tular di media sosial, Vladimir Popov, 23, dilihat telah dikelilingi oleh jerung harimau.

Lelaki itu kemudiannya diheret ke dalam air di Hurghada, sambil menjerit meminta tolong ‘Papa, selamatkan saya!’

Melihat kejadian itu, pelancong yang berada di pantai terbabit telah berlari keluar dari dalam air pantai pusat peranginan berkenaan.

Penonton juga sempat menjerit agar Vladimir berenang keluar dari dalam air sebelum akhirnya dia tewas diserang jerung tersebut.

Berdasarkan laporan Daily Mail, jerung harimau itu berjaya ditangkap dan diheret ke darat dengan bot sebelum dipukul hingga mati di pantai sebagai ‘balas dendam’.

Jerung itu kemudiannya telah dibedah oleh pakar yang menemui mayat lelaki muda itu di dalam ususnya, menurut akhbar Al Arabiya.

Kredit East2West

BACA: Lelaki Maut Diserang Ikan Jerung

Dr Mahmoud Dar, seorang profesor di Institusi Sains Marin, Mesir mendedahkan bahawa jerung itu adalah betina dan tidak menemui apa-apa lagi.

Bapa Vladimir yang sedih memberitahu bahawa kejadian serangan di depan matanya itu masih menghantui dirinya.

“Kami pergi ke pantai untuk berehat. Anak saya diserang jerung, semuanya berlaku dalam beberapa saat,” kata Encik Popov kepada saluran media 112.

Bapa yang sedih itu berkata, tiada ahli keluarga yang berada berhampiran untuk menolong anaknya yang berada di dalam air ketika itu.

“Bantuan apa yang anda boleh berikan? Kejadian itu berlaku dalam masa 20 saat, dia diheret masuk ke dalam air.

Kredit East2West

“Ini adalah satu kejadian yang tidak masuk akal, kerana ia adalah pantai yang selamat. Terdapat kapal dan kapal layar di sekeliling. Ia tidak pernah berlaku di sana. Haiwan itu biasanya menyerang di pantai terpencil. Ia hanya nasib malang buat kami,” kata Encik Popov lagi.

Vladimir dilaporkan telah tinggal bersama bapanya di Mesir selama beberapa bulan lalu sebelum serangan yang mengerikan itu berlaku.

Menurut Encik Popov, dia akan membakar mayat anaknya itu dan menghantarnya ke negara asal mereka, Rusia.

Sementara itu, pihak berkuasa Mesir mengesahkan bahawa jerung itu telah diserahkan untuk penyelidikan bagi mengetahui punca kelakuan ganasnya.

Ia juga bagi mengenal pasti sama ada haiwan yang sama berkaitan dengan serangan yang berlaku di pantai yang sama pada sebelum ini.

Sumber: Daily Mail

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka