Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tiada Petunjuk Baharu Ditemui, SAR Lelaki OKU Hilang Ditamatkan
SELAMA -- Operasi Mencari dan Menyelamat (Search and Rescue - SAR) bagi mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan Hutan Anak Kurau, Batu Kurau telah ditamatkan pada semalam.
Misi pencarian ditamatkan setelah tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.
Mangsa, Zakaria Shamsudin, 42, seorang Orang Kurang Upaya (OKU) mental dari Kampung Simpang Empat, Anak Kurau, dilaporkan hilang sejak 30 Mei 2026.
Laporan kehilangan mangsa telah dibuat pada jam 6.58 petang pada hari berikutnya.
Bertindak atas maklumat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka operasi Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Misi ini turut digerakkan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung, melibatkan kawasan hutan dan sekitar lokasi terakhir mangsa dilihat.
"Pada 1 Jun 2026, operasi SAR disambung semula dengan taklimat penugasan yang disampaikan oleh ACP Sarudin Haji Samah, Ketua Polis Daerah Selama.
"Pasukan penyelamat dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi memperluaskan kawasan pencarian sehingga radius empat kilometer persegi.
"Seramai 69 anggota dan sukarelawan terdiri daripada 26 orang (PDRM), 18 anggota bomba (termasuk Unit K9), 11 orang dari APM dan 14 orang kampung.
"Selain itu, sebanyak tujuh aset pelbagai agensi telah digerakkan bagi membantu operasi pencarian," maklum kenyataan itu.
Walau bagaimanapun, hasil penilaian semasa operasi mendapati tiada sebarang petunjuk baharu berjaya ditemui, dan arahan telah diberikan untuk menghentikan operasi SAR serta menutup PKTK di lokasi pada jam 5 petang semalam.
"Walau bagaimanapun, usaha mengesan mangsa akan diteruskan oleh Ketua Polis Balai Batu Kurau bersama penduduk kampung sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu.
"Pihak Polis Diraja Malaysia mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terlibat serta penduduk kampung yang telah memberikan kerjasama dan komitmen sepanjang operasi dijalankan," maklum kenyataan itu lagi.