Bayang-Bayang Terbentuk Di Awan, Ketahui Apa Itu Fenomena Sinaran Krepuskular
Bayang-bayang terbentuk apabila cahaya yang dipancarkan dihalang oleh sesuatu objek. Bayang yang terbentuk juga sama seperti objek tersebut.
Bagaimanapun, saiz, jarak dan panjang bayang-bayang yang terbentuk adalah berbeza kerana dipengaruhi kedudukan sumber cahaya yang dipancarkan. Misalnya batu yang kecil juga boleh membentuk bayang yang besar jika ia berada pada jarak yang dekat dengan sumber cahaya.
Oleh itu, semua objek dapat membentuk bayang termasuk gunung. Tahukah anda, terdapat sebuah gunung membentuk bayang-bayang yang sangat besar dari tanah hingga ke kaki langit?
Pastinya ia menjadi tanda-tanya buat anda bagaimanakah perkara ini boleh berlaku? Jadi, untuk mengetahui fakta menarik ini, mari kita ikuti perkongsian di bawah.
Sinaran krepuskular (Crepuscular rays)
Menurut Kementerian Sains dan Teknologi Malaysia, fenomena ini dikenali sebagai “Sinaran Krepuskular”. Ia merupakan fenomena optik yang sering kali berlaku.
Perkataan krepuskular diambil dari perkataan latin, crepusculum yang bermaksud waktu senja.
Sinaran krepuskular terbentuk apabila Matahari berada rendah di ufuk ketika sedang terbenam atau terbit dan dilindungi oleh gunung-ganang atau awan yang rendah.
Cahaya Matahari akan melalui celahan gunung-ganang dan awan menyebabkan terbentuknya jaluran gelap dan cerah yang kelihatan muncul dari satu titik, iaitu Matahari. Jaluran cahaya ini kelihatan disebabkan oleh kehadiran molekul udara, titisan air dan debu yang terapung di dalam udara.
Ia kelihatan muncul dari arah Matahari dan hampir selari antara satu sama lain.
Hal ini terjadi disebabkan oleh ilusi optik yang sama seperti melihat dua garisan yang kelihatan menumpu di hujung jalan yang panjang.
Sinaran krepuskular selalunya berwarna kekuningan ataupun kemerahan kerana fenomena serakan cahaya.
Semasa waktu senja atau subuh, cahaya Matahari perlu melalui lebih banyak partikel udara di dalam atmosfera untuk sampai ke mata kita berbanding ketika waktu tengah hari.
Sebahagian besar cahaya yang mempunyai panjang gelombang yang pendek seperti warna biru dan hijau akan diserakkan oleh partikel di dalam udara menyebabkan hanya cahaya yang kemerahan yang sampai ke mata kita.
Untuk melihat fenomena ini, kita perlu melihat ke arah barat ketika Matahari terbenam atau ke arah timur ketika Matahari terbit.
Kedudukan Matahari yang rendah menjadikan kawasan ufuknya sangat terang dan jaluran cahaya akan kelihatan keluar dari arah tersebut sekiranya tidak dilindungi oleh awan yang terlalu tebal.
Sinaran Krepuskular di Gunung Rainier

Untuk pengetahuan, Gunung Rainier menjadi lokasi popular yang mencuri tumpuan ramai kerana berlakunya fenomena sinaran krespuskular itu.
Gunung Rainier merupakan sebuah gunung berapi besar yang terletak di 87 kilometer (km) di Washington, Amerika Syarikat. Bukan sahaja itu, tinggi gunung tersebut juga mencapai 4,392 meter dari paras laut.
Ia juga tersenarai sebagai gunung berapi paling berbahaya sejak berabad lamanya. Hal ini kerana Gunung Rainier mempunyai lapisan glasier (salji) yang banyak dan berpotensi untuk menghasilkan lahar yang banyak sekaligus mengancam kawasan di sekitarnya.
Disebabkan tiada gunung yang lebih mencapai ketinggian itu, Gunung Rainier menjadi topografi paling menonjol di seluruh Amerika Syarikat.
Puncaknya dapat dilihat dari Portland, Oregon, Victoria dan British Columbia ketika cuaca cerah.

Menariknya, sewaktu cuaca pagi yang mendung menyaksikan kedudukan awan adalah bertepatan dengan arah matahari terbit. Oleh itu, ia secara tidak langsung membentuk bayang-bayang yang panjang pada kaki awan (bawah awan).
Sementara itu, menurut Gurney Journey, fenomena itu juga dapat disaksikan pada waktu matahari terbenam. Pada waktu senja ini, terbentuk satu bayang yang berbentuk seperti segi tiga.
BACA JUGA: Bentuk Unik Seakan UFO, Kenali Awan Lentikular & Bagaimana Ia Terbentuk
Bagaimanapun, fenomena ini hanya berlaku sewaktu musim luruh dan musim sejuk apabila matahari terbit lebih jauh ke selatan. Kedudukannya juga selaras dengan Gunung Rainier yang menghalang sinaran cahaya matahari.
BACA JUGA: Boleh Didengari Sehingga Di Australia, Letusan Gunung Berapi Krakatau 1883 Rekod Bunyi Letupan Terkuat Dalam Sejarah
Fakta Menarik Mengenai Gunung Rainier
Selain itu, gunung ini juga mempunyai pelbagai fakta lain yang menarik untuk diketahui seperti berikut;
Mempunyai Nama Lain

Untuk pengetahuan, Gunung Rainier mendapat panggilan Rainier kerana pada tahun 1792, seorang kapten, George Vancouver melakukan pelayaran ke Puget Sound.
Dia menamakan gunung itu sempena nama daripada seorang rakannya, Peter Rainier yang berkhidmat sebagai pegawai Tentera Laut Diraja dalam Perang Revolusi.
BACA JUGA: Ini Sejarah Penciptaan Eskalator & Fakta Mengenainya Yang Ramai Tak Tahu
Sementara itu, sebahagian suku kaum asli di Amerika memanggil gunung itu dengan nama Gunung Tacoma atau Gunung Tahoma.
Difahamkan, nama itu bermaksud “sumber makanan yang datang dari aliran cerun”.
Taman Negara Kelima Di Amerika

Gunung Rainier ditabalkan sebagai taman negara kelima Amerika Syarikat pada tahun 1899.
Pada tahun 1916, iaitu 17 tahun kemudian barulah perkhidmatan taman negara itu mula ditubuhkan oleh John Muir seorang naturalis alam dan pemuliharaan.
Sementara itu, kakitangan Geologi Amerika Syarikat menyifatkan gunung tersebut mempunyai keindahan yang unik (kontra) kerana puncaknya dilitupi dengan salji yang tebal manakala lembahnya dipenuhi dengan bunga-bunga liar.
Pada tahun-tahun awal penubuhan taman negara ini memfokuskan langkah bagi menarik pengunjung sebelum diwartakan sebagai sumber perlindungan semula jadi.
Puncak Gunung Paling Bersalji Di Amerika Syarikat

Gunung tertinggi di barat laut banjaran Cascade itu merupakan puncak paling bersalji (dingin) di Amerika Syarikat.
Gunung Rainier mempunyai 25 nama glasier termasuk Glasierr Emmons yang menghiasi gunung berkenaan. Ia menjadi sumber air yang penting kepada enam sungai termasuk sungai Nisqually, Mowich dan Carbon.
Gunung Berapi Yang Berpotensi Meletus Semula
Berbeza dengan perspektif yang indah, Gunung Rainier menyimpan sisi gelap lain. Ia merupakan sebuah gunung berapi.
Difahamkan, ia aktif sejak 1.5 juta hingga sejuta tahun yang lalu. Kali terakhir Rainier direkodkan meletus adalah pada tahun 1820 dan 1850.
Sejak dari itu, gunung berkenaan kembali tidur buat tempoh masa yang panjang. Bagaimanapun, saintis memberi amaran bahawa letusan yang seterusnya berkemungkinan lebih teruk.
Sumber: Amusing Planet, Twisted Sifter, US Department of the Interior, Gurney Journey, Kementerian Sains dan Teknologi