Wanita Cemas, Temui Ular Tedung Di Celah Pinggan Mangkuk
Ular merupakan reptilia berbisa yang mampu membunuh manusia dalam masa yang singkat selain menjadi pemangsa dalam kalangan haiwan.
Oleh kerana binatang itu mempunyai kemampuan dalam meragut nyawa manusia, ramai yang berharap untuk tidak bertemu dengan reptilia tersebut.
Pun begitu, tiada siapa yang boleh menjangka akan kehadiran ular itu di mana-mana kawasan kerana spesies itu tidak memberi sebarang petunjuk mengenai kedatangannya.
Dalam kejadian yang tidak disangka, orang ramai boleh menemukan seekor ular di dalam rumah mereka. Perkara ini terjadi kerana faktor persekitaran serta kemungkinan rumah tersebut adalah tempat bersarangnya mangsa seperti tikus.
Haiwan berbisa itu dapat menghidu mangsa mereka yang kemungkinan berada di dalam rumah dan bertindak untuk menyelinap masuk menerusi celah-celah tingkap atau pintu yang terbuka.
Ular masuk dapur
Seperti yang dilalui oleh salah seorang pengguna TikTok, di mana dia terjumpa binatang berbisa itu di kawasan sinki rumahnya.
Seorang wanita yang menggunakan akaun @widaaa63 berdepan detik cemas apabila menemui seekor binatang yang dipercayai ular tedung sedang menyorok di celah-celah tempat penyimpanan pinggan mangkuk.
Kehadiran ular tedung itu dirasai oleh wanita tersebut ketika dia sedang mengambil pinggan untuk meletakkan nasi.
Ketika kejadian, haiwan berbisa itu sedang memakan ayam mentah yang diletakkan di dalam sinki dengan tujuan untuk defrost.
Dalam video tersebut, dapat dilihat pihak bomba sedaya upaya menangkap ular itu menggunakan peralatan yang dibawa.
Ular yang berwarna hitam itu berkeliaran di kawasan singki ketika dua anggota bomba sedang berusaha menangkapnya.
Tidak lama kemudian, ular tersebut berjaya ditangkap dengan tindakan cekap yang ditunjukkan oleh anggota bomba itu.
Kejadian yang tidak diingini itu membuatkan wanita tersebut berasa takut serta trauma untuk memasuki dapur dan memasak.
“Secara rasmi saya gantung belanga (periuk) seminggu. Trauma,” katanya.
Pun begitu, dia menarik nafas lega kerana terjumpa ular tedung ketika itu berbanding anak-anak yang selalu memanjat meja untuk mengambil pinggan mangkuk.
“Takut, hati-hatilah semua. Nasib baik saya yang jumpa.
“Anak-anak selalu panjat di kawasan (sinki) untuk ambil camca (sudu) dan cawan,” tulis kapsyen itu.
Reaksi warga maya
Dalam perkongsian video itu, warga maya meluahkan rasa takut dengan kelibat ular tedung itu dan turut menceritkan pengalaman ketika binatang itu memasuki rumah.
Ramai yang mengatakan kelibat ular di rumah boleh membuatkan seseorang berasa trauma untuk memasuki kawasan itu walaupun ia telah ditangkap oleh pihak berkaitan.
Seorang warga maya berkongsi pengalaman berkata kakaknya sehingga kini tidak berani menggunakan tandas yang sebelum ini binatang itu ditemukan.
Malah, sanggup bersusah payah menggunakan tandas yang terletak di dapur kerana takut dengan kehadiran ular itu lagi.
Berita mengenai ular dijumpai di dalam rumah sering disuapkan oleh media kepada umum, pun begitu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling.
Hubungi pihak berkaitan sekiranya terdapat haiwan berbisa di rumah untuk menggelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
@widaaa63 Takot. Hati2 lah semua. Selamat jumpa kat aku. Anak2 aku selalu p kawasan tu panjat2 tabletop tu nak amik camca and cawan.. huhhhh
BACA: “Jangan Panik,” Lelaki Cemas, Ular Sawa Tiba-Tiba Muncul Atas Cermin Kereta