Siakap Keli
selamatkan anjing dalam tasik
Kredit Instagram via hollymoph

Lelaki Nekad Pertaruh Nyawa, Selamatkan Anjing Terperangkap Dalam Tasik Berais

Lelaki Nekad Pertaruh Nyawa, Selamatkan Anjing Terperangkap Dalam Tasik Berais

Seorang lelaki di Amerika Syarikat sanggup merisikokan nyawanya sendiri dengan terjun ke tasik yang membeku demi menyelamatkan seekor anjing yang hampir lemas, lapor NDTV.

Rakaman video yang menunjukkan kejadian itu kemudiannya telah tular di media sosial dan menjadi topik perbualan hangat pengguna yang lain.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Tasik Sloan di Colorado, Amerika Syarikat.

Video itu telah menunjukkan tindakan pantas dan berani lelaki tersebut melompat masuk ke dalam tasik demi menyelamatkan anjing jenis Husky yang bernama Loki.

Pengguna Instagram, Holly Morphew yang berkongsi video itu berkata kejadian bermula sewaktu anjing itu berlari ke arah tasik untuk mengejar dan menangkap angsa yang berada di tasik tersebut.

Tanpa memikirkan keselamatannya sendiri, lelaki yang dikenali sebagai Jason Skidgel itu terus menanggalkan pakaiannya dan menyelam untuk menyalamatkan anjing tersebut.

Kredit Instagram

“Semalam saya dan rakan pergi berjalan-jalan di sekitar Tasik Sloan. Kami melihat seekor anjing dari seberang tasik dengan laju mengejar angsa. Kami melihatnya dengan seram kerana mengetahui bahawa ais itu mungkin akan pecah.

“Akhirnya ia berlaku dan ajing itu terjatuh ke dalam tasik. Ia dilihat bergelut agak lama dan kami tidak dapat berbuat apa-apa. Kami berdoa agar ia dapat memecahkan ais dan boleh sampai ke tepian tasik.

“Tetapi ia semakin penat dan kami nampak anjing itu tidak akan bertahan lebih lama lagi. Kami menghubungi 911 dan pihak bomba sedang dalam perjalanan. Kemudian, seorang wira datang menanggalkan pakaiannya dan masuk ke dalam air untuk menyelamatkannya.

“Saya sangat gembira untuk mengatakan bahawa mereka berdua berjaya. Lelaki itu dan anjing tersebut selamat dan berada dalam keadaan yang baik,” tulis kapsyen video muat naik tersebut.

Kredit Instagram

Berdasarkan perkongsian video itu, lelaki itu dapat dilihat memecahkan ais dan cuba mencapai anjing itu.

Sebaik sahaja dia mendapatkan anjing tersebut, dia membantunya berenang ke tepian tasik dan pemandangan itu telah membuatkan penonton bersorak.

Selepas kedua-duanya keluar dari air, orang ramai bergegas ke arahnya dan membantu lelaki itu memanaskan badan dengan memberikan jaket mereka.

Skidgel yang terharu dengan sokongan dan kata-kata semangat dari orang ramai telah mengucapkan terima kasih kepada mereka.

BACA: Agensi Padam Memori Manusia Diceroboh, Orang Dalam Disyaki Curi Teknologi ?

“Saya mahu anda semua lihat bagaimana manusia boleh bersatu. Saya mungkin telah menyelamatkan nyawa Loki, tetapi mereka telah menyelamatkan nyawa saya. Terima kasih semua!” tulis Skidgel di salah satu muat naik di Instagram miliknya.

Tindakan pantas Skidgel itu telah mendapat perhatian pengguna media sosial dan mereka semua memuji aksi yang dilakukannya itu.

Sumber: NDTV

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka