Siakap Keli
punca kematian wanita
Kredit: BERNAMA

Kecederaan Kepala, Intraabdomen Punca Kematian Wanita Dipercayai Dipukul Teman Lelaki

Kecederaan Kepala, Intraabdomen Punca Kematian Wanita Dipercayai Dipukul Teman Lelaki

IPOH, 26 Jun (Bernama) — Bedah siasat ke atas wanita yang dipercayai dibunuh teman lelakinya di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon di sini awal pagi semalam mendapati punca kematiannya adalah kecederaan kepala dan intraabdomen akibat trauma tumpul.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata bedah siasat mayat wanita berusia 24 tahun itu dijalankan oleh Pakar Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh Dr Mohammad Shafie Othman pada 10 pagi tadi.

“Teman lelakinya yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah memukul mangsa namun punca pergaduhan masih dalam siasatan,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, polis menerima maklumat berhubung satu pergaduhan pada 4.34 pagi dan menahan teman lelaki mangsa, yang mengaku telah memukul wanita itu, dan tiga lagi individu berusia lingkungan 29 hingga 65 tahun termasuk ibu suspek yang berada di tempat kejadian.

Siasatan awal di tempat kejadian yang merupakan tempat tinggal pasangan kekasih itu bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan bulan mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di atas sebuah katil dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan HRPB.

Polis turut merampas sebatang kayu penyapu yang dipercayai digunakan suspek lelaki berusia 23 tahun itu untuk memukul mangsa selain empat telefon bimbit milik bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: BERNAMA

BACA: Arwah Dah Kemas Baju Nak Balik Kampung, Kakak Terkejut Terima Berita Kematian Mohd Syuib

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana