Siakap Keli
Kanak-Kanak Lelaki Dua Tahun Kebakaran
Gambar: Bernama

Kanak-Kanak Lelaki Dua Tahun Maut Dalam Kebakaran

Kanak-Kanak Lelaki Dua Tahun Maut Dalam Kebakaran

BUTTERWORTH,  9 Julai (Bernama) — Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai sedang tidur maut selepas bilik di rumah flat didiami bersama keluarganya terbakar dalam kebakaran di Taman Pantai Bersih, di sini hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth Mohd Nasir Idris berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.29 pagi berhubung kebakaran di rumah flat yang terletak di tingkat dua daripada empat tingkat tersebut.

“Pihak bomba terus ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan itu dan ketika tiba mendapati bilik di sebuah rumah flat berkeluasan 900 kaki persegi di situ terbakar serta api telah berjaya dipadamkan.

“Kira-kira 20 peratus bilik yang berkeluasan 100 kaki persegi itu musnah dalam kebakaran tersebut dan kami dimaklumkan terdapat seorang kanak kanak berusia dua tahun di dalam bilik berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya pemeriksaan pihak bomba dalam bilik itu menemukan kanak-kanak tersebut namun mangsa telah meninggal dunia.

BACA JUGA: Empat Kanak-Kanak Maut Dalam Kebakaran Rumah Di Muar

Mohd Nasir berkata mayat kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Supt  Siti Nor Salawati Saad ketika dihubungi mengesahkan kebakaran yang menyebabkan kanak-kanak lelaki tersebut meninggal dunia.

“Kejadian itu melibatkan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan berdasarkan maklumat awal mangsa sedang tidur di dalam bilik berkenaan manakala ibunya telah keluar bekerja pada 7.30 pagi,” katanya.

Beliau berkata semasa kejadian neneknya sedang mandi manakala ahli keluarga lain sedang tidur dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?