Wany Hasrita Selamat Bergelar Ibu
Penyanyi popular, Wany Hasrita selamat bergelar ibu selepas melahirkan anak perempuannya pada Sabtu semalam.
Dalam satu perkongsian di Instagram sebentar tadi, Wany meluahkan rasa syukur terhadap kelahiran puterinya.
“Assalamualaikum, bismillahi MasyaAllah, Alhamdulillah, Wany telah selamat melahirkan puteri kami pada hari Sabtu, 07:14pm secara normal.
“Terima kasih pada semua yang mendoakan kami.
“Anak ibu semoga jadi anak solehah penyejuk mata, penenang jiwa, pengerat cinta ibu dan bapak.
“Membesar dengan sihat dan jadilah orang yang memberi manfaat pada yang lain kelak. Ibu lebiu (love you),” tulisnya.
Kelahiran puteri sulungnya itu merupakan hasil perkahwinannya dengan suami, Mohd Al-Adib Fahmi Harun pada tahun 2022.
Selamat diijab kabul pada Julai tahun lalu

Sebelum ini, media melaporkan pasangan tersebut sah bergelar suami isteri dengan dua lafaz nikah dalam majlis yang diadakan di Glam Hall, Damansara Perdana pada Julai tahun lalu.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa Wany, iaitu Hasbullah Hassan, 56, turut disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Qariah Masjid Al Mukarramah, Daerah Petaling, Mat Syaharuddin Al Rasyid Mat Isa.
Difahamkan, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah menerima mas kahwin daripada suami berupa sebentuk cincin berlian.
Bagaimanapun difahamkan, jumlah wang hantaran seperti yang disepakati adalah dirahsiakan dan tidak disebut secara umum.
Majlis pernikahan itu turut dihadiri oleh beberapa rakan artis tempatan yang turut sama berkongsi detik-detik manis suasana tersebut menerusi laman media sosial masing-masing.
Wany turut mengumumkan tentang pernikahan tersebut menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya.
“Assalamulaikum WBT, dan salam sejahtera. Alhamdulillah, Syukur kepada Allah, yang Maha Merancang tiap sesuatu di muka bumi ini.
“Wany, dengan rasa rendah hati, ingin memohon doa kalian semua untuk Wany menempuh kehidupan di fasa yang baru.
“ Insya-Allah, Wany akan bernikah malam ini, jadi di kesempatan ini, Wany ingin mohon maaf andai Wany pernah menyakiti hati, terlanjur kata atau pernah mengecilkan hati anda semua,” katanya, memetik hantaran tersebut.
Sumber: wanyhasrita/Instagram