Siakap Keli
pga komando strok
Kredit: Sinar Harian

Anggota PGA Meninggal Akibat Strok Haba Berhasrat Nak Jadi Komando – Ibu

Anggota PGA Meninggal Akibat Strok Haba Berhasrat Nak Jadi Komando – Ibu

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan strok di Pusat Latihan PGA Hulu Kinta disifatkan ibunya sebagai seorang yang lasak dan turut bercita-cita mahu sertai latihan komando.

Lapor Sinar Harian, Muhamad Irfan Irham berpangkat konstabel rebah ketika mengikuti kursus asas pasukan tersebut dan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5 petang.

Norizan Idris berkata arwah telah ditempatkan di Cawangan Kompeni Demo Pusat Latihan PGA selepas tamat daripada latihan di Pusat Latihan Polis Langkawi.

Setelah hampir enam bulan ditempatkan di tempat itu, anak kedua daripada tujuh beradik tersebut kelihatan bersemangat dan gembira.

Arwah turut bercita-cita tinggi mahu menyertai pasukan elit polis Komando 69.

Kredit: Sinar Harian

“Arwah ada beritahu nak pergi ujian komando yang dibuka hujung tahun ini. Ikutkan menang cita-cita dia nak masuk komando sebab arwah sukakan aktiviti lasak.

“Sejak dulu kalau ada masa terluang dia akan pergi aktiviti mendaki, masuk ke hutan dan sebagainya,” katanya.

Norizan berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada Rabu.

Tambah Norizan, walaupun berasa sedih dan terkejut dengan berita pemergian arwah namun mereka sekeluarga menerimanya dengan rela hati.

Jelasnya, pegawai terlibat telah pun memberikan penerangan mengenai perkara itu termasuk keputusan penuh bedah siasat yang dijalankan.

“Kami terima penjelasan diberikan dan setakat ini tidak timbul sebarang keraguan.

“Arwah sendiri tidak pernah mengadu atau mengeluh apa-apa melainkan bersikap ceria dan suka dapat bertugas di sana.

“Sebagai ibu, saya anggap ini satu kematian dan pengakhiran yang baik dalam keadaan dia sedang latihan dan bertugas,” katanya.

Wanita berusia 49 tahun itu berkata mereka kali terakhir bertemu semasa cuti perayaan Aidiladha pada minggu lalu.

“Arwah nampak biasa sahaja, cuma dia banyak habiskan masa duduk di rumah. Selalunya kalau cuti, dia akan keluar jumpa kawan-kawan,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian

Sekitar 11.15 pagi selepas bedah siasat selesai dijalankan, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq PGA Hulu Kinta bagi proses mandi, kafan dan solat jenazah.

Jenazah telah dikebumikan ke kampung halaman di Felda Keratong 1, Bandar Tun Abdul Razak, Pahang.

BACA: Batal Prosiding Semakan: Kemenangan Bermakna Pekebun Musang King

Rebah, kena sawan dan meracau

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian arwah disahkan akibat strok haba, jelas Komandan Pusat Latihan PGA Hulu Kinta, Superintenden Mohammad Hafidz Kadir.

“Bedah siasat telah pun selesai sekitar jam 10.30 pagi tadi dan punca kematian disebabkan strok haba,” katanya.

Pada Ahad lalu, Muhammad Irfan Irham telah melapor diri sebagai peserta kursus pada 4.30 petang dan secara tiba-tiba mengalami kekejangan.

Arwah kemudiannya diserang sawan dan meracau selepas rebah jatuh ke tanah.

Muhammad Irfan Irham sempat dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan untuk rawatan awal termasuk bantuan pernafasan, namun disahkan meninggal dunia.

Sumber: Sinar Harian

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana