Siakap Keli
mana nak cari yat yat
Kredit: Maktabah Al-Bakri

Hidangan Yat Yat Kembali Popular, Di Mana Nak Cari & Boleh Makan Ke? Ini Jawapannya

Hidangan Yat Yat Kembali Popular, Di Mana Nak Cari & Boleh Makan Ke? Ini Jawapannya

Walaupun bukan perkara asing, namun trend orang ramai menikmati juadah berasaskan Yat Yat atau kutu laut mula menjadi perbualan sekali lagi sejak dua tiga hari ini.

Bagi mereka yang tidak pernah mendengar, jauh sekali melihat atau menjamah Yat Yat, sudah tentu pelbagai persoalan mula menjengah di minda.

Secara umumnya, Yat Yat adalah hidupan laut yang boleh ditemui berdekatan kawasan pantas. Selain dipanggil kutu laut, Yat Yat turut memiliki beberapa nama yang berbeza antaranya ibu remis atau undur-undur laut. Manakala dalam bahasa Inggeris pula, Yat Yat biasa disebut sebagai Sand Flea atau Crab Mole.

Dalam pada itu, haiwan ini tergolong dalam filum arthropod dalam kelas Malacostraca. Arthropoda ialah haiwan invertebrata dengan eksoskeleton dan Malacostraca merangkumi lebih 40,000 krustasea.

Kutu laut juga termasuk dalam order Decapoda, bersama dengan ketam, udang karang, dan udang. Emerita pula mewakili genus kecil dalam keluarga Hippidae, merangkumi mole crab atau sand crab (ketam pasir).

Di mana nak cari Yat Yat?

Yat Yat boleh ditemui di beberapa kawasan berpantai di zon tropika dan subtropika. Haiwan ini biasanya dihanyutkan ke pantai dengan bantuan ombak dan ‘menyorok’ di dalam pasir.

Berkenaan diet, Yat Yat menjadikan plankton dan organisma kecil laut sebagai ‘juadah’ utamanya.

Di Malaysia, beberapa tempat menjadi popular dalam kalangan penggemar untuk mencari Yat Yat antaranya seperti di Pulau Pangkor dan Teluk Senangin di Perak.

Untuk menangkapnya pula, anda hanya memerlukan perangkap yang sesuai sahaja. Namun biasanya, objek-objek seperti raga atau penutup bilah kipas diri seringkali menjadi pilihan.

Bagaimana Yat Yat ditangkap?

Kenapa? Yat Yat biasanya ditemui berada di dalam pasir di persisiran pantas yang berombak. Dengan menggunakan penapis berongga seperti raga dan penutup bilah kipas diri, anda dapat memerangkap Yat Yat dengan mudah. Manakala pasir pula boleh dilepaskan melalui celahan rongga itu tadi dengan bantuan air laut.

Untuk mengesan lokasi Yat Yat berada, anda memerlukan sepasang mata yang terang dan cekap untuk melihat tanda-tanda kehadirannya. Biasanya, beberapa struktur pasir dan buih-buih mungkin boleh menjadi rujukan untuk mencari Yat Yat.

Yat Yat sedap dimasak apa?

Walaupun turut dinamakan dengan nama kutu laut, hidangan Yat Yat sebenarnya adalah salah satu hidangan popular yang boleh dianggap sebagai eksotik.

Untuk beberapa pihak, Yat Yat amat sedap dihidangkan sebagai Yat Yat goreng celup tepung. Namun begitu, seiring dengan populariti yang diraih, aneka jenis hidangan Yat Yat sudah boleh ditemui antaranya Yat Yat masak sambal.

Malah, seorang pengguna Facebook, Siti Fareezan Hanafiah pernah berkongsi resepi penyediaan Yat Yat menerusi kumpulan Masak Apa Hari Ni. Perkongsiannya pantas menjadi viral dan ramai berkongsi keterujaan untuk mencuba Yat Yat suatu hari nanti.

Tidak dapat dipastikan bagaimanakah rasanya isi Yat Yat ini, namun rasanya mungkin menyamai rasa hidangan-hidangan laut yang lain seperti ketam dan udang.

Bagaimana pula dengan hukum memakan Yat Yat?

Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Dr. Zulkifli Al-Bakri, beliau berpendapat bahawa kutu laut atau Yat Yat termasuk dalam haiwan laut yang halal dimakan.

Hal ini berdasarkan keumuman nas yang menghalalkan semua hidupan laut dan bangkainya selagi mana tiada dalil lain yang menunjukkan kepada pengharamannya dan tidak memudaratkan.

Selain itu, haiwan berkenaan turut memiliki insang untuk bernafas di dalam air dan tidak boleh berjalan di atas pasir kering.

‘Uruf dan adat setempat di Malaysia juga menunjukkan bahawa haiwan ini boleh dimakan dan tidak dianggap sebagai haiwan jijik.

BACA: Halal Ke? Ini Hukum Makan Kutu Laut/Yat Yat Menurut Dr. Zulkilfli

Sumber: Maktabah Al-Bakri, Youtube, A-Z Animal

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma