Siakap Keli
Pembinaan Pusat Hemodialisis Pemangkin Penjagaan Kesihatan Warga Felda
Kredit: Bernama

Pembinaan Pusat Hemodialisis Pemangkin Penjagaan Kesihatan Warga Felda

Pembinaan Pusat Hemodialisis Pemangkin Penjagaan Kesihatan Warga Felda

KUALA NERANG, 15 Julai (Bernama) — Inisiatif kerajaan untuk membina pusat hemodialisis di semua wilayah Felda, disifatkan mampu menjadi pemangkin kepada penjagaan kesihatan warga peneroka.

Ketua Peneroka Felda Lubuk Merbau Mat bin Awang Saad berkata pembinaan pusat tersebut, dilihat sebagai salah satu infrastruktur penting kepada warga Felda untuk mendapatkan penjagaan kesihatan dengan mudah.

“Kami warga peneroka memerlukan sebuah pusat hemodialisis, pada masa ini ada pesakit buah pinggang di Felda ini yang tinggal dengan anak-anak mereka di pekan untuk dekat dengan klinik atau hospital, malah ada yang terpaksa menyewa rumah supaya senang berulang-alik ke klinik atau pusat hemodialisis swasta.

“Dengan adanya pusat itu nanti, ia akan memudahkan urusan warga Felda untuk mendapatkan rawatan dan tentunya akan dapat mengurangkan perbelanjaan mereka berbanding sebelum ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Bagi peneroka Felda Osman Awang, 81, berkata inisiatif itu menunjukkan kerajaan benar-benar prihatin terhadap tahap kesihatan warga Felda dan mengambil berat nasib mereka.

Beliau turut mengalu-alukan pengumuman kerajaan, untuk menanggung perbelanjaan kos operasi bagi 37,012 lampu jalan di tanah rancangan Felda seluruh negara.

“Kita juga minta tambahan 40 lampu jalan lagi, terutama dari Kampung Berjaya dan Kampung Kura ke tempat kami, serta di lima simpang jalan kampung yang tentunya akan dapat meningkatkan tahap keselamatan penduduk,” katanya yang turut memberitahu sehingga kini terdapat lebih 100 lampu jalan di Felda Lubuk Merbau.

Sementara itu, peneroka di Felda yang sama Anuar Rahim, 58, yang merupakan generasi kedua Felda, meminta kerajaan turut menangani isu perparitan di kawasan Felda itu, yang menurut beliau masih belum lengkap.

“Longkang juga menjadi masalah, kerana ada di sesetengah tempat tidak dibuat menyeluruh dan apabila hujan lebat air rumah ditenggelami air. Selain itu kami juga minta dinaik taraf pekan Lubuk Merbau agar lebih tersusun dan lengkap, dengan kemudahan lain yang akan mencantikkan kawasan,” katanya.

Pada 7 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif dan insentif, bagi meningkatkan kualiti hidup dan memelihara kebajikan warga Felda, termasuk dalam aspek penyediaan infrastruktur, penjagaan kesihatan, pendigitalan dan perumahan.

Antara yang diumumkan Anwar untuk warga Felda ialah Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) yang membabitkan peruntukan RM21.2 juta, pembinaan pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta, perbelanjaan untuk kos operasi lampu jalan dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.7 juta setahun, dan subsidi diesel RM36 juta setahun bagi tiga Felda di Sabah.

Beliau turut mengumumkan program Digital MADANI bagi memperkasa ekonomi gig, penyelesaian isu perumahan generasi baharu Felda (PGBF) dan usaha membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komoditi lain seperti sawit dan kelapa.

BACA: Hidangan Yat Yat Kembali Popular, Di Mana Nak Cari & Boleh Makan Ke? Ini Jawapannya

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma