Siakap Keli
Wang Pendahuluan Pinjaman
Kredit: Bernama

42,946 Pelajar Ke IPTA Bakal Terima Wang Pendahuluan Pinjaman

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa berusaha  untuk membantu serta menjaga kebajikan pelajar yang akan memasuki Institusi  Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman  (WPP). WPP berjumlah RM1,500 diberikan kepada setiap pelajar yang layak untuk  menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki IPTA. 

WPP ini diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah  memberikan persetujuan menerima WPP semasa memohon melalui UPUOnline atau  melalui portal kemasukan IPTA, ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan. Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Mei 2023, seramai 969,046 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion.

Bagi kemasukan pelajar untuk sesi Julai 2023, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di  kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 18 Julai 2023 dengan membawa surat tawaran WPP serta MyKad pelajar (wakil adalah tidak  dibenarkan). Tempoh sah laku WPP adalah selama dua (2) bulan bermula 18 Julai 2023 hingga 18 September 2023.

PTPTN telah menyediakan peruntukan berjumlah RM64.42 juta kepada seramai  42,946 pelajar yang telah berjaya melanjutkan pengajian peringkat Diploma di IPTA  bagi kemasukan sesi Julai 2023. PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya  melanjutkan pengajian ke IPTA sekali gus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan.

Untuk makluman, para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN  secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh permohonan yang  ditetapkan bagi setiap IPTA untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya. Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun  Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT  masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan. Maklumat lanjut berkenaan WPP dan pinjaman PTPTN boleh diperolehi melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my. Pelajar juga boleh mendapatkan maklumat dengan cepat, mudah dan selamat melalui aplikasi myPTPTN. 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa