Siakap Keli
menu rahmah mydin
Gambar: Bernama

Beri Impak Yang Besar, Mydin Akan Teruskan Jualan Menu Rahmah

Beri Impak Yang Besar, Mydin Akan Teruskan Jualan Menu Rahmah

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata bahawa beliau akan meneruskan legasi Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub sampai bila-bila.

Beliau berkata demikian sewaktu dihubungi oleh Astro Awani secara langsung.

Jelasnya, beliau menyifatkan inisiatif tersebut sangat memberikan impak yang besar terhadap rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Saya rasa ini satu inisiatif yang sangat ringkas tapi ia meninggalkan kesan dalam hati rakyat.

“Dan saya haraplah kawan-kawan saya dalam industri yang ramai dah kenal dia (Allahyarham), kami akan meneruskan langkah ini.

“Saya daripada pihak Mydin memang akan teruskan Menu Rahmah ini, sampai mati saya akan buat,” ujarnya dalam keadaan tidak mampu menahan sebak.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berpandangan inisiatif tersebut perlu diteruskan meskipun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal diambil alih oleh orang lain, lapor Bernama.

BACA JUGA: Salahuddin Ayub Meninggal Dunia

Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, sudah tentu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar bergantung harap dengan inisiatif itu.

Tambahan lagi, ia dilihat seiring kos sara hidup pada ketika ini.

“Allahyarham seorang yang sangat baik, rajin bekerja tidak mengira masa dan tidak kira di mana jua. Dalam Kabinet, beliau merupakan seorang yang sangat bekerja keras dan teliti terutamanya apabila menjalankan tentang inisiatif Payung Rahmah.

“Ia harus diberikan kesinambungan oleh sesiapa yang akan dilantik menjadi menteri selepas ini kerana rakyat pasti teringat akan sumbangan beliau pada negara melalui skim Payung Rahmah ini,” katanya sewaktu ditemui di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat hari ini.

Menu Rahmah

Untuk makluman, inisiatif Menu Rahmah merupakan langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ia digerakkan oleh peniaga (Private Driven Initiative) dan dilakukan secara sukarela.

Sumber: Astro Awani

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?