Siakap Keli
Sinéad O'Connor
Gambar: BERNAMA

Penyanyi Ireland, Sinéad O’Connor Meninggal Dunia Pada 56 Tahun

Penyanyi Ireland, Sinéad O’Connor Meninggal Dunia Pada 56 Tahun

Penyanyi terkemuka Ireland, Sinéad O’Connor dilapor meninggal dunia, pada usianya 56 tahun, lapor BBC.

Kematian Sinead dimaklumkan oleh ahli keluarganya melalui satu kenyataan yang dibuat pada 26 Julai. Bagaimanapun, punca kematian penyanyi itu tidak didedahkan.

Sinéad merupakan penyanyi terkemuka pada era 90-an dan banyak merakam lagu popular termasuk kolaborasi dengan beberapa kumpulan muzik terkenal pada era tersebut.

Lagu Nothing Compares 2 U yang dilancarkan pada 1990 merupakan antara karya yang membawa namanya dikenali di pentas dunia.

Difahamkan, lagu ciptaan Prince tersebut berjaya menembusi carta utama dunia serta dinobatkan sebagai single nombor satu dunia oleh Billboard Music Awards.

Selain itu, majalah Rolling Stones meletakkan lagu tersebut di tempat ke-165 dalam senarai 500 lagu terbaik sepanjang zaman.

O’Connor juga mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama yang memenangi video muzik terbaik di Anugerah Music Television Awards (MTV).

Beliau menjadi wanita pertama memenangi anugerah tersebut menerusi video muzik ‘Nothing Compares 2 U‘ pada tahun 1990

Bukan itu sahaja, O’Connor juga dikenali sebagau seorang aktivitis kemanusiaan dengan kelantangannya memperjuangkan hak asasi manusia.

Hal ini termasuklah persembahan kontroversi di Saturday Night Live pada tahun 1992 sebagai tanda protes terhadap penderaan seksual kanak-kanak di gereja Katolik.

Beliau kemudian sekali lagi menggegar dunia muzik apabila mengumumkan telah memeluk Islam pada 2018, seterusnya menukar nama kepada Shuhada’ Sadaqat.

Walaupun penyanyi tersebut sudah memiliki nama baharu, beliau masih menggunakan nama kelahirannya untuk kariernya dalam dunia seni.

Dalam pada itu, berita pemergian Allahyarhamah turut mendapat perhatian beberapa pemimpin Ireland serta tokoh-tokoh muzik.

Perdana Menteri Ireland, Leo Varadkar dilapor berkata, muzik dan karya-karya nyanyian Allahyarmah akan terus dikenang di seluruh dunia.

Beliau turut menyimpulkan bahawa bakat yang dimiliki penyanyi tersebut tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana pemuzik yang lain.

Manakala Presiden Ireland, Michael D Higgins pula memuji kualiti karya-karya yang diterbitkan oleh penyanyi itu dan menyifatkan Allahyarmah memiliki suara yang unik dan merdu.

“Ireland kehilangan salah seorang komposer, penulis lagu dan penghibur yang paling hebat dan paling berbakat dalam dekad ini pada usianya yang masih muda,” katanya.

Pembikin filem Belfast, Kathryn Ferguson yang merupakan antara orang pernah berhubung dengan O’Connor sebelum pemergiannya berkata, dirinya cukup terkesan dengan berita tersebut.

Ferguson difahamkan sedang menghasilkan sebuah filem dokumentari mengenai penyanyi tersebut yang berjudul Nothing Compares, dan dijangkakan bakal dilancarkan pada Sabtu ini.

“Bagi saya, filem yang kami hasilkan adalah ‘surat cinta’ kepada Sinéad. Filrm ini mengambil masa bertahun-tahun untuk dihasilkan,”jelasnya ketika ditemubual BBC Radio 4’s Front Row.

“Dan filem ini dibuat berdasarkan impak yang beliau berikan ketika saya masih kecil dan sedang membesar di Ireland.

“Beliau merupakan antara ahli muzik yang radikal dan terhebat yang pernah kita miliki. Dan kami sangat, sangat, sangat bertuah untuk bersamanya.”

Pengguna media sosial turut memberikan penghormatan terakhir dan tribut buat penyanyi tersebut selepas berita pemergiannya pada pagi ini.

BACA: Ibu Bapa Bimbang Silibus Sekolah Terlalu Sukar, Hantaran FB Ini Tarik Perhatian Maszlee Malik

Sumber: BBC

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma