Siakap Keli
astro lelaki keluang man
Kredit: Astro

Astro Tengah Cari Lelaki Badan Tegap, Jadi Pelakon Watak Keluang Man

Astro Tengah Cari Lelaki Badan Tegap, Jadi Pelakon Watak Keluang Man

Studio filem, Astro Shaw Sdn. Bhd akan mengadakan satu sesi ujibakat bagi mencari watak lelaki utama untuk filem live-action animasi legenda tanah air, Keluang Man.

Pengumuman berkenaan dibuat menerusi laman Facebook rasmi studio filem tersebut pada 27 Julai.

“Adakah anda KELUANG MAN yang kami cari? Jom sertai ujibakat sebelum 13 Ogos 2023 untuk watak utama bagi membintangi filem akan datang terbaru kami, KELUANG MAN!”

Hantaran terbabit telah disertai sekeping poster yang memuatkan kriteria-kriteria watak utama yang dicari-cari.

Antaranya, peserta mestilah seorang lelaki, berusia dalam lingkungan 21 tahun hingga 40 tahun, fasih berbahasa Melayu dan berbadan tegap.

Selain itu, memiliki asas mempertahankan diri juga merupakan satu nilai tambah bagi peserta-perseta yang ingin mencuba nasib.

Astro buat ujibakat, cari lelaki tegap bawa watak Keluang Man

Bagi menyertai ujibakat tersebut, peserta perlu menghantar video pengenalan diri dengan durasi maksimum tiga minit menerusi kod QR yang terpampang pada poster ujibakat.

“Kami sudah mengenali Keluang Man, kini kami ingin mengenali ANDA. Tunjukkan personaliti menarik anda.”

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai sesi ujibakat ini, anda boleh layari laman web rasmi Keluang Man.

Sebelum ini, siri animasi legenda Malaysia yang amat popular sejak lebih dua dekad lalu dilaporkan  bakal diangkat ke layar perak.

Memetik Astro Gempak, Astro Shaw telah menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd baru-baru ini bagi menerbitkan filem aksi pertama Keluang Man.

Hasil kerjasama ini sekali gus menjadi titik permulaan bagi kedua-dua pihak dalam memperkenalkan semula IP animasi adiwira legenda ini kepada generasi baharu.

Penghasilan filem aksi ini juga dikatakan bakal melahirkan universe adiwira terbesar yang membabitkan adiwira-adiwira daripada liga tempatan.

Untuk makluman, Keluang Man merupakan siri animasi popular dan diminati ramai pada akhir tahun 90-an dan awal 2000-an.

Siri animasi adiwira pertama tanah air ini diilhamkan oleh Allahyarham Haji Kamarudin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Kamn Ismail bersama pengasas Dan Pemilik UAS Animation, Natashah Datuk Hj Md Noor.

Keluang Man telah disiarkan buat pertama kali pada tahun 1998 dan mempunyai tujuh musim dengan lebih dari 140 buah episod.

Kisah adiwira ini menampilkan jalan penceritaan yang sangat unik yang diinspirasikan oleh keluang dan turut disuntik dengan elemen komedi.

Watak utama, Borhan yang juga Keluang Man merupakan seorang pesakit di sebuah hospital mental di Tumpoi.

Beliau akan berubah menjadi adiwira pada waktu malam bagi membanteras jenayah dengan bantuan rakan seperjuangannya, Tiong Man.

Menariknya, Keluang Man tidak seperti adiwira-adiwira tipikal yang sering ditampilkan dalam khalayak ramai.

Watak adiwira itu tidak mempunyai sebarang kuasa istimewa tetapi dibentuk dengan ilmu persilatan, naluri dan sifat jujur yang sangat tinggi.

Rentetan daripada reaksi positif para peminat dan penonton setia siri animasi ini, terdapat banyak permintaan untuk mengembangkan francais siri animasi ini.

BACA: Ramai Alpa, Rupanya Ini Maksud, Fungsi & Cara Nak Guna Trip A & Trip B Pada Meter Kereta

Sumber: Astro Shaw via Facebook, Astro Gempak

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma