Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hari Sukan Di SNBJ Lebih Kondusif, Naikkan Semangat Pelajar Bersukan
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) — Langkah Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menawarkan penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) secara percuma kepada semua sekolah dapat membantu pihak sekolah melaksanakan penganjuran hari sukan di venue yang lebih kondusif dan selesa.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata usaha itu juga dapat memberi pengalaman baharu kepada murid untuk beraksi di gelanggang olahraga sebenar sekali gus menaikkan semangat mereka untuk bersukan.
Beliau berkata pengalaman bersukan dalam stadium sebenar yang jarang dirasai pelajar mungkin dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk berkecimpung dalam bidang sukan dan membuka ruang untuk menjadi atlet kebangsaan.
“Suasana berada dalam stadium sebenar dapat menaikkan semangat pelajar dalam bersukan.
“Jadi dengan keterbukaan SNBJ dan dua stadium lagi (Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara), saya percaya langkah kerajaan ini juga dapat menggilap atlet baharu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 25 Julai lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan insiatif PSM memberi tawaran istimewa kepada semua sekolah menggunakan SNBJ secara percuma bagi tempoh dua tahun khusus untuk penganjuran hari sukan.
Selain SNBJ, PSM turut memberi tawaran penggunaan secara percuma dua venue lain iaitu Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara kepada pihak sekolah.
Dalam pada itu, Aminuddin berharap KBS dapat memperluaskan inisiatif berkenaan di seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk bersama-sama dalam melaksanakan hari sukan ini. Bagi saya inisiatif ini tertumpu kepada stadium di bandar dan besar jadi kemungkinan banyak sekolah di luar Lembah Klang sukar mendapat peluang untuk bersukan dalam stadium.
“Jadi kita harap pada masa akan datang KBS dapat membuat kerjasama dengan pihak Perbadanan Stadium Negeri supaya manfaat ini (pembukaan stadium) dapat dinikmati oleh seluruh rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi berkata beberapa sekolah telah menyatakan minat untuk menggunakan SNBJ bagi tujuan hari sukan sekolah masing-masing.
“Banyak yang berbuat demikian (sekolah) namun PSM dalam masa sama akan mengeluarkan garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) berhubung penggunaan venue terlibat esok,” katanya.
Sumber: BERNAMA