Siakap Keli
infineon rm 25 bilion kedah
Gambar: AFP

Syarikat Jerman, Infineon Umum Tambah Pelaburan RM 25 Bilion Di Kedah – Tengku Zafrul

Syarikat Jerman, Infineon Umum Tambah Pelaburan RM 25 Bilion Di Kedah – Tengku Zafrul

Syarikat penyedia penyelesaian semikonduktor Jerman, Infineon akan menambah pelaburan sebanyak RM 25 bilion di Kulim , Kedah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Berita gembira berkenaan dimaklumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebentar tadi.

Katanya lagi, pelaburan berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan Infineon untuk membina kilang penghasilan 200mm SiC (silicon carbide) terbesar di dunia.

Produk tersebut digunakan untuk pelbagai aplikasi perindustrian seperti dalam teknologi solar, storan tenaga dan pengecasan EV berkuasa tinggi.

Infineon umum tambah pelaburan RM 25 bilion di Kedah

”Keputusan Incheon untuk mengembangkan fasiliti berkelas dunia mereka di Kulim bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, malah meletakan Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi hijau.

”Ia adalah aspek penting untuk mencapai matlamat pembangunan global Malaysia yang mampan,” katanya.

Dalam pada itu, AFP melaporkan pelaburan dan pengembangan kilang berkenaan akan memberikan potensi pulangan tahunan sebanyak RM 34 bilion kepada syarikat itu menjelang akhir dekad ini.

Fasiliti ini juga akan menyokong sasaran Infineon untuk menguasai 30 peratus pasaran SiC di peringkat global.

”Pasaran global SiC menunjukkan pertumbuhan yang pesat, bukan sahaja dalam industri automatif malah dalam pelbagai industri yang lebih meluas.

”Dengan pengembangan fasiliti di Kulim, kami dapat mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju dalam pasaran,” kata CEO Infineon, Jochen Hanebeck.

Menurut AFP lagi, Infineon membekalkan perkhidmatan kepada pelbagai syarikat berprofil tinggi di serata dunia. Pelanggan-pelanggan tersebut terdiri daripada pelanggan-pelanggan sedia ada dan pelanggan-pelanggan baharu.

Dalam industri automotif, pelanggan-pelanggan tersebut termasuk enam syarikat OEM, dimana tiga daripadanya berasal dari China. Syarikat-syarikat tersebut antaranya adalah Ford, SAIC dan Cherry.

Manakala dalam industri tenaga boleh diperbaharui pula, pelanggan-pelanggannya termasuklah SolarEdge dan tiga syarikat pendahulu sistem penyimpanan tenaga dan photovoltaic dari China.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penghargaan kepada komitmen Infineon untuk mendirikan hub tersebut di Malaysia.

”Malaysia menumpukan usaha semaksimum yang mungkin untuk memenuhi sasaran menyahkarbon ekonominya dan mencapai sifar karbon pada 2050,” katanya.

Visi Infineon dalam teknologi hijau dan kemampanan adalah tepat dengan Malaysia.

BACA: Hilang Sejak 6 Jun, Mayat Lelaki Ditemui Dalam Kereta Terlibat Kemalangan

Sumber: Twitter Tengku Zafrul, AFP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.