Siakap Keli
debat sanusi saifuddin
Kredit: BERNAMA

The Amin Idris Show Tawar Jadi Penganjur Debat Muhammad Sanusi Dan Saifuddin Nasution

The Amin Idris Show Tawar Jadi Penganjur Debat Muhammad Sanusi Dan Saifuddin Nasution

Pengacara televisyen bebas, Amin Idris melalui The Amin Idris Show berbesar hati menawarkan untuk menjadi penganjur sesi perdebatan antara Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkenaan isu kecurian sumber nadir bumi (REE).

Dalam satu hantaran di Facebook, Amin berkata tawaran yang dibuat oleh pihaknya adalah untuk memudahkan supaya kedua-dua pihak mengemukakan bukti secara budiman.

Menurutnya, pihaknya mencadangkan sesi perdebatan itu diadakan pada 7 Ogos ini bagaimanapun ia bergantung dengan persetujuan mereka.

“Melihat kemelut MB (Menteri Besar) Kedah Datuk Seri Sanusi diserang bertalu-talu atas isu REE, The Amin Idris Show dengan penuh rendah diri menawarkan pentas debat untuk Datuk Seri Sanusi dan Datuk Seri Saifuddin Nasution mengemukakan hujah dan bukti secara budiman.

“Tarikh cadangan pada 7 Ogos atau bergantung pada persetujuan kedua-dua pihak,” tulisnya pada Khamis.

Amin berkata pihaknya juga telah menghubungi pihak yang berkaitan dan setakat ini persetujuan hanya dibuat sebelah pihak.

Pun begitu, pihaknya akan mengemas kini perkara itu dari semasa ke semasa kepada orang ramai.

“Secara asasnya Bro Amin sudah menghubungi pegawai kedua-dua pihak. Setakat ini pihak Datuk Seri Saifuddin bersetuju.

“Pihak pegawai Datuk Seri Sanusi telah menjawab telefon dengan baik dan menyantuni Bro Amin, cuma belum beri kata putus.

“Insya-Allah akan kemas kini dari semasa ke semasa,” ujarnya.

BACA: Sanusi Beri Bayangan Pertuduhan Mahkamah Tidak Halang Bertanding PRN

Muhammad Sanusi fail saman terhadap Saifuddin

Sebelum ini, Muhammad Sanusi telah memfailkan saman fitnah terhadap Saifuddin susulan membuat kenyataan fitnah terhadap dirinya berkaitan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan REE.

Muhammad Sanusi berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan dan perlu diperbetulkan menerusi tindakan undang-undang.

Terdahulu, Saifuddin mendedahkan bahawa Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah telah menerima kompaun sebanyak RM500,000.

Kompaun itu dikenakan kerana didakwa terlibat dalam kejadian mencuri REE di Kampung Chong, Sik.

Pendedahan itu dibuat ketika beliau menghadiri Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Keda di Guar Chempedak pada 15 Julai lalu.

Sumber: Amin Idris

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana