Siakap Keli
Penganjuran MCY

474 Produk Tempatan Dengan Nilai Hasil RM540 Juta Berjaya Dikomersialkan Sejak Penganjuran MCY

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2023 – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim,  Perdana Menteri hari ini merasmikan Sidang Kemuncak Tahun  Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2023. Persidangan anjuran  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kali ini bertemakan  Supercharge Your Way to Impact berlangsung pada 3 dan 4 Ogos 2023  bertempat di Connexion Bangsar South, Kuala Lumpur. 

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mengumumkan 474 produk,  teknologi dan perkhidmatan MCY telah berjaya dikomersialkan  sepanjang tempoh tahun 2016 hingga 2022 di pasaran tempatan dan  antarabangsa dengan nilai hasil melebihi RM540 juta. Di samping itu,  penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai yang diterajui oleh MOSTI,  telah berjaya menjana pulangan pelaburan dan perniagaan bernilai lebih  daripada RM9 bilion. 

MCY merupakan platform bagi mengiktiraf usahawan teknologi tempatan  di atas kejayaan mereka mengkomersialkan produk hasil penyelidikan,  pembangunan dan inovasi (R&D&I) ke pasaran tempatan dan  antarabangsa. Memasuki tahun ke-7 pelaksanaannya, MCY turut  memasuki tahun ke-3 fasa MCY 3.0 bertemakan MCY Goes Global,  sebuah inisiatif pengkomersialan hasil R&D&I tempatan ke peringkat  global. 

Penganjuran MCY

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri telah menyampaikan Anugerah  MCY kepada sepuluh (10) usahawan teknologi tempatan sebagai  pengiktirafan di atas kejayaan masing-masing sepanjang tahun 2022. 

Anugerah MCY dibahagikan enam (6) kategori di mana penerima  membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM1 juta  berserta trofi dan sijil penghargaan. Selain itu, rakan penaja iaitu Valuing IP akan menawarkan perkhidmatan penilaian harta intelek kepada semua  pemenang yang bernilai RM147,000. Pemenang turut akan mendapat  khidmat bernilai RM30,000 daripada Brand Geeks yang akan memberi  bantuan menilai Technology Readiness Level (TRL) serta membantu  mempercepatkan proses pengkomersialan.  

Free the Seed Sdn. Bhd. dengan produk Biodegradable & Compostable  Packaging Products made from Straw Cellulose Waste telah  dinobatkan sebagai penerima Supreme Award, membawa pulang hadiah  wang tunai bernilai RM100,000.00. Produk ini juga merangkul Anugerah  Pencapaian Pengkomersialan dengan hadiah wang tunai bernilai  RM130,000.00. Produk pembungkusan ini menggunakan sisa pertanian  iaitu bahan biojisim pulpa selulosa daripada jerami padi dan kualitinya  telah dipertingkatkan mengikut piawaian penjagaan kesihatan Eropah.  

Penerima anugerah bagi empat (4) kategori lain yang menawarkan  hadiah wang tunai RM130,000 ialah: 

(i) Anugerah Inovator Baharu – Universiti Putra Malaysia (UPM)  melalui produk Harvast Photosynthesis Enhancer; 

(ii) Anugerah Usahawan Penyelidik – Syarikat SHE Empire Sdn. Bhd.  (Syarikat spin-off Universiti Teknologi Malaysia) melalui produk NK  Age-Reverse;  

(iii) Anugerah Usahasama Penyelidikan dan Perniagaan – Syarikat  ACTS Smart Solutions Sdn. Bhd. melalui produk Structural Dynamic  Monitoring for Ageing Offshore Platform; dan 

(iv) Anugerah Usahawan Sosial – Institut Penyelidikan dan Kemajuan  Pertanian Malaysia (MARDI) melalui produk Urbankit.  

Satu pemenang hadiah saguhati dari setiap lima (5) kategori turut  menerima hadiah wang tunai bernilai RM50,000.00 setiap satu berserta  trofi dan sijil penghargaan. 

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan Malaysia  Technology Commercialisation Platform (MATCH). MATCH adalah  satu platform inovasi pengewangan yang akan menguhubungkan dan menawarkan penyelesaian yang menguntungkan pembekal teknologi dan  pencari teknologi. MATCH akan membuka pintu kepada penyedia dan  pencari teknologi untuk berhubung dan bertukar ilmu serta kepakaran bagi mempercepatkan proses komersialisasi teknologi di Malaysia. 

Perdana Menteri juga menyaksikan pertukaran tiga (3) Memorandum  Persefahaman (MoU) iaitu antara MRANTI dengan AstraZeneca  Malaysia, MRANTI dengan Eastern Academic Health Science Network  (EAHSN), United Kingdom dan Fuciphagus Agritech Sdn. Bhd. dengan  Eu Yan Sang serta satu (1) Memorandum Perjanjian (MoA) antara Free  The Seed Sdn. Bhd. dengan Nissho Precision (Malaysia) Sdn. Bhd. 

Penganjuran MCY

MoU antara MRANTI dan AstraZeneca Malaysia adalah untuk  melancarkan beberapa inisiatif yang akan membantu ekosistem syarikat  pemula di dalam bidang teknologi kesihatan di Malaysia. Beberapa  syarikat berpotensi tinggi akan dikenal pasti oleh pihak MRANTI dan  dihubungkan dengan AstraZeneca bagi mendapatkan fasilitasi lanjut  seperti kemasukan ke program ekosistem eksklusif global A.Catalyst. Di  samping itu, kedua-dua pihak juga akan berganding bahu dalam program program sosial bagi merapatkan jurang akses kesihatan di Malaysia. 

MoU antara MRANTI dan EAHSN akan mewujudkan jalinan kerjasama  dalam mengenal pasti syarikat-syarikat yang berpotensi tinggi dalam  sektor teknologi kesihatan di kedua-dua negara. Syarikat-syarikat ini akan  diberikan fasilitasi dalam bidang penyedidikan dan pembangunan (R&D),  kajian klinikal, akses kepada pasaran dan bantuan pembangunan lain.  

MoU antara Fuciphagus Agritech Sdn. Bhd. dan Eu Yan Sang mewujudkan kolaborasi bagi jualan dan pemasaran SA+ Daily Sialic Acid  Sachet Edible Bird’s Nest. Produknya merupakan sarang burung walit  pertama yang disediakan dalam bentuk sachet adalah mengikut piawaian  halal dan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP). 

Pertukaran MoA antara Free The Seed Sdn. Bhd. dan Nissho  Precision (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi penggunaan produk  pembungkusan yang mesra alam dan mampan untuk menggantikan  penggunaan plastik oleh syarikat-syarikat Multinational (MNCs) seperti  Panasonic Television Japan, SHARP dan aplikasi industri lain seperti  Toyota Japan. Kerjasama ini adalah melalui produk Biodegradable & Compostable Packaging from Plant Waste yang dihasilkan dengan  menggunakan bioteknologi bagi menukar gentian selulosa sisa jerami  padi kepada produk pembungkusan pakai-buang biodegradasi. Anggaran  nilai MoA ini adalah RM50 juta. 

YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapan  aluannya berkata, “Dalam fasa MCY 3.0 yang dilaksanakan bagi tempoh  dari 2021 hingga 2025, MOSTI telah menetapkan sasaran untuk  mengkomersialkan sebanyak 400 lagi produk/ teknologi/ perkhidmatan  hasil R&D&I tempatan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 60 produk/ teknologi/ perkhidmatan disasarkan untuk menembusi pasaran  antarabangsa.” 

Penganjuran MCY

Pada hari pertama persidangan, YB Chang Lih Kang telah melancarkan  portal MCY Bizmatching. Portal MCY telah ditambah baik dari segi reka  bentuk, paparan serta kandungan yang lebih interaktif, mesra pengguna  dan yang menyokong penyebaran maklumat dan aktiviti pengkomersialan  dengan lebih berkesan. Portal MCY yang baharu dengan modul Business  Matching telah diwujudkan untuk memberi peluang kepada penyelidik dan  startups berkongsi maklumat, memperkenalkan teknologi dan produk  kepada bakal pelabur dan rakan strategik. Produk KPI Khas MCY, boleh  dilayari di www.mcyportal.mosti.gov.my. 

Sepanjang dua (2) hari sidang kemuncak berlangsung, pelbagai aktiviti  lain yang menarik telah disediakan termasuk Ministerial Dialogue,  pameran produk hasil R&D&I tempatan dan keusahawanan sosial,  persidangan, forum dan sesi coaching/mentoring dengan penglibatan  agensi-agensi seperti MRANTI, Cradle Fund, Malaysia Debt Ventures  (MDV), Malaysian Technology Development Corporation) (MTDC),  Malaysian Industry Group High Technology (MIGHT), Yayasan Inovasi  Malaysia (YIM) dan SIRIM Berhad. 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa