Siakap Keli
kanak-kanak penjaga tadika
Gambar: Tangkap layar video tular

Polis Buka Dua Kertas Siasatan Kes Kanak-kanak Dikasari Penjaga Tadika

Polis Buka Dua Kertas Siasatan Kes Kanak-kanak Dikasari Penjaga Tadika

KOTA KINABALU, 10 Ogos (Bernama) — Polis membuka dua kertas siasatan berhubung insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dikasari penjaga tadika yang videonya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata pada Selasa lepas pihak polis telah mengesan satu rakaman video mengenai kejadian itu dan siasatan awal mendapati ia berlaku di sebuah tadika di Luyang di sini.

Beliau berkata ibu bapa mangsa telah dimaklumkan oleh anak mereka bahawa dirinya dikasari penjaga berusia 27 tahun itu sehingga mendapat kesakitan di beberapa bahagian tubuhnya.

Katanya ibu bapa mangsa juga telah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tadika itu.

“Setakat ini pihak polis telah menerima tiga laporan polis iaitu daripada ibu mangsa, pengusaha tadika dan penjaga itu yang juga mendakwa telah dikasari oleh bapa mangsa. Mangsa dan suspek telah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth II untuk pemeriksaan doktor,” katanya.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Video berdurasi 2 minit 12 saat itu menunjukkan seorang wanita dipercayai penjaga tadika itu menendang seorang kanak-kanak sebelum memarahi dan mengasarinya dengan disaksikan kanak-kanak lain yang berada di situ.

Sumber: BERNAMA

BACA: Guru Tadika Berhenti Kerja, Jana Pendapatan Jutaan Ringgit Melalui “Live Stream”

Nurhanis

noktah