Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Polis Laksana Operasi Saman Tembak Laju, Kompaun Akan Dihantar “Direct” Terus Ke Rumah
Operasi saman tembak laju atau saman ekor kini telah mula dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Isnin melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), lapor Sinar Harian.
Menurut Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, saman dan notis yang dikeluarkan kepada pesalah trafik akan diposkan kepada alamat kediaman mereka.
Difahamkan, pesalah yang melakukan kesalahan di jalan Persekutuan dan lebuh raya akan dikenakan notis saman K170A.
Katanya, kesalahan trafik yang melibatkan pesalah memandu melebihi had laju akan dilakukan secara berpanjangan di semua kontinjen dan daerah.
“Sebanyak 8,718 saman K170A telah dikeluarkan pada semalam (Isnin).
“Pecahan saman mengikut kenderaan adalah 8,352 kereta, motosikal (44) manakala kenderaan perdagangan dan perkhidmatan sebanyak 322,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jelasnya, ia dijalankan secara berterusan supaya orang ramai berhemah ketika berada di jalan raya selain mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Tambahnya, punca utama berlakunya kemalangan jalan raya di negara ini adalah disebabkan pemandu memandu melebihi kelajuan yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemanduan melebihi had laju akan membuatkan pemandu gagal mengawal kenderaan sekali gus menjadi penyebab berlakunya hilang kawalan.
“Notis pemberitahuan saman K170A bagi kesalahan memandu melebihi had laju akan disampaikan kepada pemilik kenderaan mengikut alamat lesen memandu secara pos surat berdaftar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata kamera tembak laju akan digunakan bagi merakam mana-mana pemandu yang memandu melebihi had yang ditetapkan.
Mereka yang bersalah akan dikenakan saman sebanyak RM300.
“Saman kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan kepada mereka yang dikesan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nasri juga menegaskan bahawa pemilik bertanggungjawab untuk memberikan butiran pemandu kenderaan yang bersalah.
Ujarnya, pemilik kenderaan diberikan masa tujuh hari dari penerimaan notis pemberitahuan kesalahan untuk memberikan butiran pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut.
“Semua kesalahan memandu melebihi had laju boleh dikompaun dan dijelaskan di mana mana bahagian trafik daerah di seluruh negara,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian