Siakap Keli

KKDW Jajarkan Program Sokong Aspirasi Ekonomi MADANI

Putrajaya, 22 Ogos – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, KKDW mengorak langkah melalui penjajaran program dan aktiviti kementerian bagi menyokong aspirasi ekonomi Madani.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Hajah Rubiah Wang berkata KKDW meletakkan kepentingan kepada peningkatan daya saing ekonomi negara tanpa mengenepikan kehidupan dan kesejahteraan rakyat terutamanya di kawasan luar bandar

Bagi mencapai hasrat ini, antara inisiatif khusus yang akan dilaksanakan oleh KKDW termasuklah menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun 2023 melalui 

  • Program Peningkatan Pendapatan (PPP) yang menyasarkan 1,200 peserta dengan peruntukan berjumlah RM12 juta yang mana para peserta PPP dapat meningkatkan pendapatan sebanyak 30% berbanding pendapatan asal. 
  • Program Latihan dan Kemahiran Kerjaya (PLKK) yang menyasarkan 1,900 peserta dengan peruntukan berjumlah RM10 juta yang mana peserta yang tamat latihan di bawah PLKK akan mendapat pekerjaan atau menjalankan aktiviti ekonomi sendiri.
  • Program Desa Lestari yang menyasarkan penglibatan 10 koperasi kampung dengan peruntukan sebanyak RM12.1 juta yang mana kampung yang dipilih akan berjaya menjana pendapatan dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan selepas setahun pelaksanaan.
  • Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) yang menyasarkan 700 orang peserta dengan peruntukan RM23.8 juta bertujuan untuk meningkatan pendapatan peserta melalui bantuan ekonomi.

Aspirasi Ekonomi MADANI

Tambahnya, dengan peruntukan sebanyak RM11.04 bilion bagi tahun 2023 untuk pembangunan infrastruktur luar bandar yang bertaraf dunia, KKDW  meneruskan program pembangunan infrastruktur luar bandar seperti Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Luar Bandar dan Jalan Perhubungan Desa, Program Ameniti Sosial serta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi memastikan penduduk desa termasuk di kawasan pedalaman dan Perkampungan Orang Asli mempunyai perkhidmatan asas yang lengkap. KKDW juga akan berkolaborasi bersama Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk meningkatkan capaian internet di kawasan luar bandar termasuk di pedalaman kerana ianya telah menjadi keperluan asas dan buat masa ini capaian internet di luar bandar adalah 89.2% sahaja.

Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) akan terus diperkasa melalui penambahan peruntukan RM400 juta untuk pinjaman mikro di bawah agensi kerajaan termasuk MARA bagi memberi peluang kepada usahawan termasuk usahawan luar bandar yang rata ratanya daripada golongan usahawan mikro untuk memperluas perniagaan termasuk melalui platform digital. Selain itu, KKDW juga melaksanakan program pembiayaan perniagaan seperti Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan skim pembiayaan perniagaan di bawah MARA termasuk khusus untuk Wanita dan Orang Kelainan Upaya (OKU). Terdapat juga Program Peningkatan Pendapatan di bawah KEMAS iaitu melalui Kursus Quick Win dan Aktiviti Ekonomi Tambahan dengan memberikan latihan, bimbingan dan peralatan secara percuma kepada peserta yang layak.

KKDW komited memperkukuh program pendidikan dan pembangunan modal insan terutamanya program TVET. Ini termasuk menambah baik kemudahan dan silibus TABIKA dan TASKA KEMAS dan meningkatkan pendidikan TVET yang lebih berminda permintaan (demand driven) di 280 institusi TVET di bawah KKDW. KEMAS akan melaksanakan Program TABIKA Pra Tahfiz secara rintis yang melibatkan 100 buah TABIKA KEMAS dan 1,500 orang kanak kanak bermula Ogos 2023. Program ini adalah bagi memperkasakan Pendidikan Al-Quran di TABIKA KEMAS selain melalui pelaksanaan Modul Penghayatan Pendidikan Islam (PPI).

Pemerkasaan TVET di MARA juga dilaksanakan melalui program artikulasi TVET dalam dan luar negara, pelaksanaan Embeded Dual Certification Programme di samping mengaplikasikan teknologi IR4.0. KKDW juga turut memperkenalkan konsep Teaching Factory yang merupakan sebahagian inisiatif model Industry Based Education and Training (IBET) di Institusi TVET@KKDW. Model IBET memberi peranan kepada institusi TVET sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran berorientasikan industri bagi memastikan kualiti graduan TVET yang dihasilkan adalah memenuhi keperluan industri.

Aspirasi Ekonomi MADANI

TVET JELITA atau (Job Empowerment by Learning and Inclusive Techinal Advancement) yang baru diumumkan oleh YAB Menteri pada 3 Ogos 2023 diasaskan bertujuan merealisasikan inisiatif kerajaan untuk memperkasakan ekonomi wanita di negara ini menerusi program latihan dan kemahiran. TVET JELITA merupakan satu program di bawah program induk TVET Khas Wanita yang diusahakan bersama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) sebagai sebagai ejen pelaksana penyedia kursus dan kemudahan latihan. Program ini mensasarkan 15,000 peserta wanita diseluruh negara termasuk kawasan pinggir desa bagi melahirkan lebih ramai wanita yang berkerjaya, profesional dan berdaya saing.

Semua institusi TVET KKDW selain UniKL dan Universiti Poly-Tech Malaysia akan disatukan di bawah satu bumbung walaupun secara fizikalnya setiap institusi masih berada di bawah tanggungjawab agensi-agensi yang berkenaan. Penyelarasan akan dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat untuk menggabungkan institusi-institusi berkenaan di bawah Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) iaitu institusi di bawah RISDA memandangkan RISDA mempunyai lesen Kolej Universiti.

KKDW menyokong agenda meningkatkan keterjaminan makanan negara melalui program-program pertanian berskala besar yang dilaksanakan oleh agensi KKDW seperti FELCRA, RISDA dan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW). Antaranya:

  • Program ternakan lembu secara integrasi di bawah FELCRA dan RISDA.
  • Projek ternakan ayam oleh FELCRA yang akan dilaksanakan di Tanjung Seratus di Kuala Rompin, Sungai Damak di Lipis, Paloh 4 di Gua Musang, Bagan Datuk di Perak dan Padang Terap di Kedah.
  • Program pembangunan ladang sekuriti makanan di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah. Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) telah menandatangani MOU untuk membangunkan kawasan pertanian di Kluang dengan keluasan 176 ekar. Projek tersebut dijangka dapat mengeluarkan kelapa mentah sebanyak 600 metrik tan dengan anggaran pendapatan sebanyak RM483 ribu setahun. Program ini juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada 110 penduduk di sekitar kawasan KEJORA.
  • Projek agromakanan seperti sayuran dan buah buahan oleh sama ada secara individu atau berkelompok di bawah LKW.

Aspirasi Ekonomi MADANI

Datuk Rubiah berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Hadir sama Ketua Setiausaha KKDW Dato’ Sri Ramlan Dato’ Harun, pengurusan dan warga KKDW.

Turut diadakan simbolik  sesi penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Setiausaha dan Ketua Agensi untuk  menyemarakkan lagi semangat bulan kemerdekaan.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa