Siakap Keli
gigit ular sawa
Kredit KhaoSod

Leher Dibelit, Lelaki Nekad Gigit Ular Sawa Sekuat Hati Lepaskan Diri Dan Heret Ke Balai Polis

Leher Dibelit, Lelaki Nekad Gigit Ular Sawa Sekuat Hati Lepaskan Diri Dan Heret Ke Balai Polis

Seorang pengawal keselamatan dilaporkan nekad menggigit seekor ular sawa sebelum mengheretnya ke balai polis selepas reptilia itu dipercayai menyerang dan membelitnya, lapor The Thaiger.

Insiden serangan ular sawa itu dikatakan berlaku pada jam 10 malam Isnin lalu di sebuah syarikat swasta di Bang Bo, wilayah Samut Prakan, Thailand.

Mangsa yang berusia 68 tahun itu dikatakan bekerja dan menetap di lokasi syarikat tersebut.

Ketika kejadian, mangsa baru sahaja selesai mandi dan makan malam.

Semasa sedang berehat di dalam biliknya, tiba-tiba dia terasa sakit yang menyucuk di kakinya seperti digigit sesuatu.

Apabila dia membuka matanya, dia mendapati seekor ular sawa telah menggigit kakinya dan cuba melilit lehernya.

Mangsa cuba bergelut dan melawan ular itu sambil meminta bantuan daripada mereka yang berada berdekatan dengan lokasi serangan tersebut.

Bagaimanapun, ular sawa yang berasa terancam itu kemudiannya melilit mangsa dengan lebih ketat.

Disebabkan tidak dapat melawan kekuatan lilitan ular sawa itu, mangsa kemudiannya memutuskan untuk menggigit ekornya dengan sekuat hati.

Tindakan itu telah menyebabkan ular sawa tersebut mula melonggarkan lilitannya dan cuba untuk melarikan diri.

Dalam cubaan melarikan diri itu, mangsa berjaya memegang kepala ular itu dan membawanya ke balai polis untuk melaporkan kejadian serangan tersebut.

Mangsa berkata bahawa dia hampir mati dalam pergelutan dengan ular sawa tersebut.

Dalam pada itu, polis memaklumkan bahawa ular yang dibawa mangsa telah diserahkan ke sukarelawan Yayasan Ruamkatanyu.

Pasukan sukarelawan itu turut membantu memberi pertolongan cemas kepada mangsa yang cedera digigit ular tersebut.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bang Bo bagi mendapatkan rawatan lanjut.

BACA: Tular Rakaman Ular Sawa Gergasi Ditemui Dalam Tasik Ayer Keroh

Dalam kejadian berasingan, seorang penduduk di Nonthaburi berdepan detik cemas selepas seekor ular sawa dikesan berada di dalam mangkuk tandas di rumahnya.

Lelaki itu sedang menggunakan tandas, namun tiba-tiba dia berasa sakit di bahagian punggungnya.

Dia bernasib baik dan segera pergi mendapatkan bantuan bagi membantu menangkap ular itu dan merawat kecederaan yang dialaminya.

Sumber: The Thaiger

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka