Siakap Keli
Kanak-kanak AS koir peribahasa melayu
Kredit: TikTok

Mendunia, Kumpulan Koir Kanak-Kanak Amerika Buat Persembahan Lagu Peribahasa Melayu

Mendunia, Kumpulan Koir Kanak-Kanak Amerika Buat Persembahan Lagu Peribahasa Melayu

Koir merupakan satu persembahan nyanyian yang dilakukan secara berkumpulan. Berbeza dengan nyanyian solo, unsur harmoni dititikberatkan dalam nyanyian koir bagi menghasilkan nyanyian yang mantap dan seimbang.

Kebiasaannya, lagu-lagu berbahasa Latin sering dipilih sebagai lagu persembahan koir. Menurut Ashley Danyew, sebutan dalam bahasa Latin terdiri daripada huruf vokal tulen dan sangat mudah untuk dinyanyikan.

Jadi tidak hairanlah, banyak pasukan koir menggunakan lagu-lagu berbahasa Latin dalam persembahan mereka. Selain bahasa latin, lagu-lagu bahasa Inggeris juga sering dipilih kerana faktor universalnya.

Sungguhpun begitu, kumpulan koir membuat keputusan untuk mencabar norma dalam dunia koir dengan meletakkan satu kelainan dalam persembahan mereka.

Dalam sebuah video yang tular di TikTok milik Fairuz Fee Tauhid (@fairuzfeetauhid), sebuah pasukan koir kanak-kanak dari Amerika Syarikat (AS) telah mempersembahkan lagu koir yang berasaskan peribahasa Melayu.

Lagu Kira! ciptaan Dr.Tracy Wong telah dipersembahkan oleh kumpulan koir kanak-kanak AS, Colorado Children’s Carole baru-baru ini. 

Pada awal lagu ini, kumpulan koir ini menyanyikan lirik berupa kiraan nombor dari satu hingga lapan, bersesuaian dengan tajuk lagu itu sendiri.

Kemudian, terdapat beberapa peribahasa Melayu diselitkan dalam lirik seperti sediakan payung sebelum hujan, bersusah susah dahulu bersenang kemudian dan yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang.

@fairuzfeetauhid

Berasaskan Peribahasa Melayu. Kira! Oleh Dr Tracy Wong (Canada) #KOREOGRAFee oleh saya, Fairuz Fee Tauhid (Malaysia) Dipersembahkan oleh Colorado Children’s Carole (Amerika Syarikat).

♬ KOREOGRAFee oleh Fairuz Fee Tauhid – Fairuz Fee Tauhid

Dr. Tracy Wong, seorang rakyat Malaysia yang menetap di Kanada telah menggunakan peribahasa Melayu dalam lirik lagu koir kanak-kanaknya.

Difahamkan, wanita tersebut merupakan seorang konduktor koir, pengajar muzik, komposer, vokalis, dan pemain piano.

Berdasarkan laman webnya, beliau sangat teruja untuk membantu para pengajar koir dalam memberikan pengalaman unik kepada anak didik mereka menerusi pelbagai aktiviti seperti komisyen, bengkel dan sebagainya.

Manakala, koreografi persembahan yang bertenaga dan memukau ini telah dicipta oleh Fairuz Fee Tauhid sendiri, yang turut merupakan koreografer termuka di Malaysia.

Turut dikenali sebagai Cikgu Fee, beliau terkenal dengan hasil ciptaan koreografi tariannya, khususnya dalam tarian tradisional kontemporari.

BACA: Dilengkapi Sistem Yang Lebih Canggih, Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Pesawat Tempur F-15EX 

Sumber: @fairuzfeetauhid via TikTok

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma