Hari Gembira Bertukar Duka, Ibu Meninggal Dunia Setengah Jam Lepas Bernikah
Walaupun dalam dunia ini mempunyai banyak perkara yang tidak dijangka berlaku, namun sebagai manusia siapalah kita untuk mengawal semua benda, kita hanyalah hamba yang wajib mengabdikan Allah S.W.T.
Setiap perkara yang berlaku di dunia ini mempunyai sebab, kalau tidak hari ini mungkin nanti kita akan tahu sebab ia berlaku. Namun yang pasti, apa yang terjadi adalah yang terbaik untuk kita, walaupun kebenarannya susah untuk ditelan.
Begitulah yang terjadi kepada Ika apabila hari bahagianya bertukar menjadi duka selepas orang yang paling penting dalam hidupnya menghembuskan nafas terakhir semasa majlis pernikahannya berlangsung.
Menerusi satu video yang dimuat naik oleh @mawiekhaili di Tiktok, dia berkongsi detik-detik yang menyayat hati semasa majlis pernikahan Ika.
Mawie yang merupakan kawan baik Ika menceritakan kembali bagaimana situasi yang gembira itu bertukar menjadi suram dan menjadi kenangan yang susah untuk dilupakan.
Pada 26 Ogos lepas, Ika telah selamat mengikat ikatan yang sah bersama suaminya dan majlis tersebut berjalan dalam keadaan lancar.
BACA: Gembira Bertukar Tragedi, Lelaki Maut ‘Disedut’ Ke Dalam Lubang Kolam
Bagaimanapun, satu tragedi yang bakal mengubah hidupnya terjadi, apabila dia dimaklumkan dengan satu berita yang sangat menyayat hati.
Selepas setengah jam menjadi isteri, Ika dimaklumkan tentang keadaan ibunya yang kritikal di hospital.
Ika yang baru tiba di hospital bersama gaun pengantinnya dimaklumkan bahawa ibunya telah pergi buat selama-lamanya.
Akur dengan pemergian itu, Ika dilihat hanya berdiri membaca surah Yasin buat ibunya yang tercinta.
“Lebih kurang setengah jam sahaja selepas dia selesai bernikah dia dapat satu perkhabaran yang sangat mendugakan.
“Dia terpaksa bergegas ke Hospital Kuala Lumpur untuk melihat ibunya yang sedang kritikal.
“Sampai sahaja dia di hospital, ibunya telah menghembuskan nafas yang terakhir,” ujarnya.
Sebagai seorang rakan baik, Mawie yang turut terkesan dengan pemergian ibu Ika tidak dapat menggambarkan perasaan yang dirasai.
Perasaan bercampur baur apabila dua emosi dirasai dalam satu masa, pada satu situasi dan yang paling menyedihkan, terjadi dalam sekelip mata sahaja.
Walaupun hatinya dipenuhi dengan rasa sedih namun Ika tetap tidak membiarkan dirinya dihanyut dengan perasaan itu.
Malah, dia cuba untuk menjadi kuat supaya dapat menguruskan jenazah ibunya buat kali terakhir.
“Bagaimana aku nak menggambarkan perasaan yang dirasa, gembira sedikit tetapi dukanya yang lebih.
“Aku bangga dengan dia, dia kuat untuk berdiri uruskan jenazah dengan sebaik yang mungkin walaupun keadaan dia tidak stabil dan emosi dia terlalu sedih.
“Tetapi dia terpaksa kuatkan diri untuk kembali ke majlis persandingan dia. Bukan untuk meraikan tetapi untuk menghormati tetamu yang hadir daripada seluruh negeri,” jelasnya.
Perkara yang terjadi, jelas membuktikan kita sebagai hamba tidak mempunyai kuasa untuk mengawal semua perkara di atas muka bumi ini. Salam takziah buat Ika dan keluarga.
@mawiekhaili Sedekahkan al fatihah itu ibunda ika@Boonga
Sumber: @mawiekhaili/TikTok