Siakap Keli
berkat ibu kopi
Kredit: Siakap Keli

Kahwin Sehelai Sepinggang, Pasangan Anggap Berkat Ibu Punca Kopi Laku

Kahwin Sehelai Sepinggang, Pasangan Anggap Berkat Ibu Punca Kopi Laku

Selagi berkehendak pasti ada jalan.

Itu merupakan moto hidup yang dipegang oleh Mohamad Hariry Jasni apabila dia mahu memulakan perniagaan, menjadi usahawan sepenuh masa dan mendirikan rumah tangga bersama cinta hatinya.

Biarpun kisah hidupnya tidak sempurna seperti yang lain, lelaki berusia 27 tahun itu tidak pernah patah semangat untuk memberikan yang terbaik buat keluarganya.

Kisah hidup Hariry dan pasangannya, Hani Razif sempat dirakam oleh Siakap Keli, melalui segmen Komitmen, Ini Kisah Kami/Saya. 

Kredit: Siakap Keli

Sebelum memulakan pekerjaan sepenuh masa sebagai peniaga Kopi Dua Darjat, Hariry adalah seorang lelaki yang banyak melakukan pekerjaan sambilan.

Namun, pendiriannya berubah selepas mendirikan rumah tangga kerana sedar perlu menggalas tanggungjawab sebagai suami dengan mempunyai pendapatan bulanan yang stabil untuk menampung keluarga kecilnya.

“Bila saya kahwin saya rasa saya kena buktikan kepada keluarga mentua, kalau tidak bapa saya tidak benarkan saya kahwin sebab dia tahu saya macam mana.

“Tetapi apabila fikir balik, saya tidak boleh berterusan begini, sebab saya kena tunjuk yang saya boleh berubah,” katanya.

Jelasnya, pada permulaan ibunya membuat tawaran untuk menolongnya membuka kedai kopi dan sanggup mengeluarkan modal untuknya.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu memberi impak besar kepada saya mengenai pemandangan keadaan dunia sekarang.

“Jadi nak atau tak nak saya kena komited, tidak kisah sama ada isteri saya memilih untuk kerja atau tidak.

“Saya kena cari jalan untuk menampung keluarga saya dan berdikari tanpa memerlukan pertolongan daripada sesiapa,” ujarnya.

BACA: Berhenti Kerja ‘Sedap’ Semata Nak Niaga Kek RM5

Permulaan perniagaan Kopi Dua Darjat

Hariry berkata PKP sememangnya memainkan peranan penting dalam hidupnya kerana kesusahan yang dihadapi membuatkan dia bersemangat untuk mencari rezeki yang halal.

“Ini daripada mak saya dan saudara saya pemilik Kopi Dua Darjat. Semasa itu PKP kemudian mak saya yang bagi idea supaya jual kopi ini.

“Tetapi pada ketika itu saya sedang sibuk dengan (perniagaan) ayam golek dan macam-macam, jadi bila saya sedar harga barang semakin naik jadi saya rasa kurang berbaloi untuk berniaga makanan.

“Saya fikir buat air lagi senang dan cara penyediaan pun mudah, margin pun okay jadi saya buat keputusan untuk berniaga kopi,” katanya.

Bagaimanapun, Hariry berkata dia tidak memulakan perniagaan secara terus tanpa mempunyai pengetahuan tentang kopi, sebaliknya Hariry mengambil pengalaman bekerja di kedai saudaranya, yang turut menjual Kopi Dua Darjat.

Seperti yang ditetapkan dalam Al-Quran, setiap kesusahan pasti ada kesenangan, walaupun dengan gaji RM1,700 Hariry berjaya mengikat ikatan sah bersama gadis pilihannya.

Kredit: Siakap Keli

Menceritakan mengenai cabaran, Hariry berkata pertukaran tempat penjualan kedai sedikit sebanyak menyumbang kepada kehilangan pelanggan tetap dan pelanggan baru.

Disebabkan ramai yang menjual tanpa lesen, Hariry mengatakan perniagaannya turut terkesan apabila pihak berkuasa datang dan menyita serta menyaman kedainya.

Masih berniaga walaupun sarat mengandung

Hani yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada suaminya berkata semasa sedang sarat mengandung, dia sering mengikut Hariry berniaga dari 12 tengahari sehingga 12 tengah malam.

Keadaan itu membuatkan Hani terpaksa bersalin sebulan awal daripada tarikh yang dianggarkan oleh pihak hospital.

Pun begitu, Hani meluahkan rasa syukur apabila bayi yang dilahirkan berada dalam keadaan sihat walaupun kandungannya tidak cukup bulan semasa dia bersalin.

Imbau kembali detik-detik semasa mengandung, Hani yang kini telah menjadi ibu berkata pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika dia mengalami kesusahan dalam membahagikan masa untuk pemeriksaan doktor dan berniaga.

“Apabila lakukan pemeriksaan di Klinik Kesihatan itu bukan ambil masa yang sekejap malah berjam-jam lamanya. Jadi dekat situ, sangat makan masa,” tambahnya.

Kredit: Siakap Keli

Selepas cahaya matanya dilahirkan, mereka terpaksa mengubah perancangan di mana suaminya bertanggungjawab dalam berniaga secara berseorangan, manakala Hani pula perlu menjaga anaknya.

Mengakui perkara itu tidak mudah untuk dilakukan, Hani mengatakan dia dan suaminya perlu bermula semula mencari jalan bagi memastikan perniagaan mereka berjalan lancar.

Dengan berkat Tuhan dan ibu bapa, perniagaan kopi milik pasangan itu kini telah berjalan lancar walaupun telah menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran semasa berniaga.

Perniagaan tersebut berjaya menampakkan hasil apabila pendapatan bulanan mencecah sehingga belasan ribu ringgit.

Korang yang cuba Kopi Dua Darjat ini boleh datang di Neocyber atau Domain.

Saksikan temu bual penuh yang dibawakan oleh Siakap Keli di bawah atau di sini.

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana