Glasier Tropika Di Indonesia Diramal Cair Sepenuhnya Pada 2026
Dua glasier tropika yang berada di Indonesia dilapor sedang mencair dan dikhuatiri lenyap sepenuhnya menjelang 2026, lapor, The Guardian.
Memetik portal berita tersebut, dua glasier tropika berkenaan yang terletak di Gunung Jayawijaya, Papua merupakan sebahagian daripada bilangan kecil glasier tropika yang ada dan jarang ditemui di dunia.
Agensi meteorologi Indonesia, BMKG berkata kewujudan kedua-dua glasier tersebut terancam dengan fenomena El Nino yang berpanjangan.
Fenomena tersebut juga berpotensi meletakan Indonesia dalam musim kemarau paling teruk sejak 2019 yang turut meningkatkan potensi kebakaran hutan dan mengganggu rantaian bekalan air bersih.
“Dua glasier tersebut mungkin lenyap menjelang 2026 atau jauh lebih awal. El Nino berisiko mempercepat pencairan tersebut berlaku,” kata Donaldi Permana, penyelidik di BMKG.
Pencairan glasier berkenaan juga dikhuatiri boleh mengganggu ekosistem serantau dan menyebabkan peningkatan aras laut.
Glaiser tropika di Indonesia berisiko lenyap sepenuhnya
Data menunjukkan kedua-dua glasier itu semakin menipis dan mengecil sejak beberapa tahun yang lalu. Pada 2010, ketebalan glasier-glasier berkenaan adalah 32 meter namun menipis kepada 8 meter pada 2021. Manakala saiznya juga mengecil daripada kawasan seluas 2.4 kilometer pada 2ooo kepada 230 meter pada 2022.

Katanya lagi, ketika ini tidak banyak yang boleh dilakukan bagi menghalang kedua-dua glasier berkenaan daripada lenyap buat selama-lamanya.
”Kita sekarang dalam posisi untuk mendokumentasikan kepupusan glasier tropika. Sekurang-kurangnya kami boleh bercerita kepada anak cucu kami nanti bahawa kita pernah memiliki glasier,” katanya lagi.
Tidak banyak glasier tropika yang tinggal di dunia ketika ini. Selain Indonesia, sebilangan kecil glasier tropika turut ditemui di puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania, Andes di Peru dan Bolivia serta di Banjaran Tibet dan Himalaya.
Glasier tropika amat terdedah dengan perubahan cuaca. Kewujudan glasier tropika yang dapat bertahan sehingga ke hari ini hanya kerana dibantu faktor lokasinya yang berada di altitud tinggi.
Terdahulu, kombinasi antara pemanasan global dan El Nino menyaksikan beberapa rekod melibatkan suhu global dipecahkan.
NASA sebelum ini juga mengisytiharkan Julai 2023 merupakan bulan terpanas dalam sejarah, sejak 1880.
BACA: NASA Sahkah Julai 2023 Bulan Paling Panas Dalam Rekod Sejak 1880
Sumber: The Guardian