Dipercayai Terlalu Stres, Wanita Cuba Terjun Ke Rel Kereta Api Bersama Bayi
JAKARTA — Tular satu rakaman baru-baru ini mendakwa seorang ibu hampir melempar bayinya ke rel Kereta Rangkaian Listrik (KRL) dalam satu kejadian yang berlaku di Stesen Pasar Minggu, Jakarta Selatan, lapor Detik.com.
Difahamkan, wanita tersebut yang berpakaian serba kuning dan bertudung biru gelap itu ditenangkan oleh petugas KRL tempatan. Wanita tersebut juga kelihatan tidak senang duduk melihat petugas lain menggendong anaknya meskipun cuba ditenangkan.
“Saya tahu awak ada masalah, cakap baik-baik,” ujar petugas KRL tempatan sambil cuba menenangkan keadaan.
“Kenapa ni.. awak tak boleh buat macam ini,” kata seorang lagi petugas di stesen tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasar Minggu, David Pratama Purba berkata kejadian berlaku pada Sabtu lalu dan mengesahkan bahawa wanita terbabit sebenarnya ingin terjun ke rel tersebut bersama bayinya.
Difahamkan, punca yang mendorong wanita terbabit melakukan perbuatan sedemikian adalah disebabkan terlalu stres. Walau bagaimanapun, ibu berkenaan telah membuat kenyataan dan permohonan maaf bahawa tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
BACA JUGA: Bunuh Ibu Dengan Kejam, Lelaki Sakit Mental Hanya Tutup Mata Apabila Disoal Polis
Sebagai langkah berjaga-jaga, David juga berkerjasama dengan agensi tempatan berkaitan bagi memantau wanita terbabit untuk tidak melakukan perbuatan sedemikian lagi.
“Kemungkinan mangsa mengalami stres sebelum diselamatkan oleh pegawai tempatan. Wanita itu kini dilapor telah pulang ke rumah dan berjanji tidak mengulangi perbuatan tersebut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengurus Perhubungan Luar dan Penjagaan Imej Korporat Komuter KAI, Leza Arlan turut memaklumkan perkara itu.
“Hasil keterangan yang diambil mendapati pelaku dipercayai mempunyai masalah keluarga sebelum bertindak demikian,” katanya.
Kata Leza, pada awalnya, wanita itu datang bersama dengan suaminya, namun sewaktu dia pergi membeli minuman. Wanita tersebut kelihatan berdiri di pinggir laluan 2 stesen berkenaan sambil menggendong anak sebelum diselamatkan petugas tempatan.
Sehubungan itu, Leza menasihati orang ramai untuk sentiasa menjaga keselamatan ketika menggunakan perkhidmatan itu dengan berdiri di belakang garisan yang telah ditetapkan.