Siakap Keli
lelaki mental bunuh ibu dengan kejam
Kredit: Sanook via The Thaiger

Bunuh Ibu Dengan Kejam, Lelaki Sakit Mental Hanya Tutup Mata Apabila Disoal Polis

Bunuh Ibu Dengan Kejam, Lelaki Sakit Mental Hanya Tutup Mata Apabila Disoal Polis

Seorang lelaki di Bangkok yang mempunyai masalah mental didakwa membunuh ibunya secara kejam dalam tragedi di Lat Krabang, Thailand baru-baru ini, lapor The Thaiger.

Suspek yang berusia 37 tahun itu kemudiannya ditahan polis pada Ahad.

Difahamkan, polis bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai insiden yang berlaku di bangunan pangsapuri empat tingkat yang juga merupakan rumah mangsa.

Pegawai polis menemui mayat ibu suspek dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik di tingkat tiga yang ketika itu, lantai juga ‘bertukar’ merah disebabkan  kesan percikan darah mangsa.

Mangsa yang berusia 61 tahun itu diselubungi selimut dari kepala hingga ke pinggang dan apabila polis menanggalkan kain tersebut, boleh dilihat dia juga mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Pegawai polis juga menemukan beberapa injap silinder gas besi yang diselaputi darah di atasnya, diletakkan berhampiran mayat mangsa.

Selepas melakukan penangkapan ke atas suspek di tempat kejadian, suspek hanya berdiam diri dan menggelengkan kepalanya.

Menurut polis, dia turut menutup kedua matanya semasa pegawai terbabit melakukan siasatan ke atasnya.

Pegawai itu membawanya ke Balai Polis Lat Krabang untuk siasatan lanjut dan tindakan undang-undang terhadap dirinya.

Semasa awal kejadian, jiran-jiran memaklumkan kepada polis mereka terdengar bunyi seperti orang dipukul pada malam Jumaat lalu, namun tiada pertengkaran dilaporkan.

Daripada pihak cucu perempuan mangsa pula, dia menyatakan suspek mempunyai sakit mental dan pernah dimasukkan ke hospital mental dua tahun lalu tetapi telah dibenarkan keluar.

Katanya, keadaan suspek menjadi lebih parah apabila dia enggan mengambil ubat-ubatannya yang diberi oleh doktor.

Mangsa turut meminta cucunya sentiasa berhati-hati kerana anaknya itu bersifat ganas dan mereka tidak tinggal bersama orang lain.

Mayat mangsa telah dipindahkan ke Institut Perubatan Forensik di Hospital Polis, manakala suspek sedang ditahan menunggu pemeriksaan perubatan untuk memeriksa kesihatan mentalnya.

Dari semasa ke semasa, kisah pembunuhan  kejam dalam keluarga menjadi tajuk utama untuk berita Thailand akhir-akhir ini.

Pada November, seorang lelaki di Phuket didakwa membunuh bapanya dalam kejadian ganas hanya kerana wang untuk membeli rokok. 

Lelaki berusia 26 tahun itu mengelar leher bapanya yang berusia 51 tahun dalam kejadian di daerah Thalang.

Suspek berkata dia mempertahankan dirinya sejak bapanya bertindak untuk menyerangnya dengan ganas.

Sumber: The Thaiger

BACA: Lelaki Tergamak Bunuh Ayah Sendiri, Akui Dah Bosan Terpaksa Jaga Ayah Terlantar Sakit Strok

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana