Bung Mokhtar Syukur Perjuangan Lima Tahun Lawan Kes Rasuah Selesai
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) — Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menzahirkan rasa syukur selepas lima tahun perjuangannya dan isteri Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad melawan kes rasuah dihadapi akhirnya selesai selepas mereka dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.
Bung Mokhtar, 66, turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam dan yang mendoakannya selama ini.
“Terima kasih banyak-banyak semoga Allah membalas budi baik mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Sementara itu, peguam M.Athimulan mewakili Bung Moktar berkata kerja keras pasukan pembelaan membuahkan hasil dengan pembebasan anak guamnya.
BACA: Zizie Izette Terima Wang Tunai RM2.2 Juta Perkenal Ejen Pelaburan Kepada Bung Moktar
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid hari ini membebaskan pasangan itu selepas membenarkan permohonan mereka untuk semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Mahkamah Sesyen, pada 2 Sept tahun lepas memerintahkan Bung Mokhtar dan Zizie Izette membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah itu dan mereka kemudiannya memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Sesyen.
Sumber: BERNAMA
BACA: Bung Moktar, Zizie Izette Diperintah Bela Diri Tuduhan Rasuah RM2.8 Juta