Detik-detik Datuk Azizul Terlibat Kemalangan Berkelajuan Tinggi Ketika Latihan Di Velodrom Nilai
Pelumba trek kebangsaan, Datuk Azizulhasni Awang terlibat dalam satu kemalangan berkelajuan tinggi dalam sesi latihan yang berlangsung di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan hari ini.
Berita kemalangan berkenaan dikongsikan oleh beliau sendiri melalui platform X sebentar tadi.
Menerusi perkongsian tersebut, beliau berkongsi video kemalangan tersebut yang menunjukkan pelumba berusia 35 tahun itu terjatuh ketika mengejar motosikal di depannya.
”Selamat Hari Malaysia. Sekadar ingin berkongsi bahawa saya terlibat dalam kemalangan berkelajuan tinggi ketika sesi latihan yang berpunca daripada masalah mekanikal.
Datuk Azizul terlibat kemalangan ketika latihan
”Kemalangan itu berlaku pada selekoh pertama velodrom pada kelajuan tinggi ketika saya sedang mengejar motosikal di depan.
”Saya rasa amat bersyukur kerana kemalangan ini tidak bertukar menjadi situasi yang lebih teruk. Kemalangan ini sebenarnya boleh mendatangkan kecederaan serius.
”Kemalangan yang berlaku pada situasi seperti ini bukanlah satu jenaka. Alhamdulillah, Allah melindungi saya. Syukur.
”Terima kasih kepada semua yang menghulurkan bantuan,” katanya.
[1/2]
Selamat Hari Malaysia.Just to share with everyone that i have involved in high speed crash during training session due to mechanical failure. The crash happened at the first corner of the velodrome at the top speed when i was doing my speed effort chasing motorbike. pic.twitter.com/SmqJJPI1uq
— Azizulhasni Awang (@AzizulAWANG) September 16, 2023
Menjengah ke ruang komen, rata-rata peminat terkejut dan bimbang dengan insiden kemalangan pelumba negara, yang terkenal dengan jolokan The Pokcet Rocketman itu.
Apatah lagi, beliau menjadi sandaran emas buat negara di Sukan Asia Guanzhou di China yang akan bermula pada 23 September ini.
Sebahagian besar peminat meninggalkan komen dan mendoakan pelumba tersebut agar segera sembuh dan kembali bersedia untuk bersaing di kejohanan tersebut.
Sebelum ini, beliau pernah terlibat dalam kemalangan trek ketika bersaing dalam kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester pada 2011.
Menurut Datuk Azizul, kemalangan yang berlaku pada ketika itu hampir meragut karier gemilangnya.
Dalam kemalangan tersebut, betis kiri Datuk Azizul tertusuk dengan serpihan kayu daripada trek sepanjang kira-kira 20cm.
Insiden tersebut turut mendapat perhatian dunia apabila atlet kesayangan negara itu tidak menyerah kalah dan bangkit menamatkan perlumbaan walaupun mengalami kecederaan serius.
BACA: Bukan Saja-saja Letak, Rupanya Ini Maksud Sebenar Huruf M&M Pada Coklat Terkenal
Sumber: Datuk Azizulhasni Awang