“Saya Masih Terbayang…”, TMJ Dedah Detik Cemas Kejadian Tembakan Di Siam Paragon Mall
Tunku Mahkota Johor (TMJ), Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim telah bekongsi detik cemas berkenaan insiden tembakan yang berlaku di Siam Paragon Mall, Bangkok petang semalam.
Perkongsian tersebut dibuat oleh Tunku Ismail menerusi satu ciapan di laman X (@HRHJohorII) pada 11.55 malam, Selasa.
Difahamkan, orang ramai mulai panik ketika bunyi tembakan kedengaran. Ketika itu, Tunku Ismail dan keluarganya sedang berada di lobi hotel.
“Kami membawa kanak-kanak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya. Fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.
“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran. Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku.”
“Saya masih terbayang waktu saya memberitahu anak-anak saya, “Semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini” dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba,” kata Tunku Ismail lagi.
Membentuk perisai manusia untuk melindungi ahli keluarga
Tunku Ismail kemudian terus berkongsi lanjut situasi cemas yang berlaku ketika itu.
”Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga saya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku.
“Apa yang (ada) difikiran saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis.
“Saya menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan kami untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa kami ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut.”
Jelas Tunku Ismail, baginda telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk membawa mereka ke Kedutaan Malaysia.
Namun begitu, pasukan keselamatannya memaklumkan lokasi mereka lebih dekat dengan Kedutaan Singapura.
Mendengar penjelasan daripada pemandu itu, Tunku Ismail segera menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor.
“Kini kami selamat berada di Kedutaan. Saya menghubungi Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pertahanan kita untuk memaklumkan apa yang berlaku. Duta Besar Malaysia turut ada bersama kami.
“Setelah semuanya selamat, kami akan ke lapangan terbang dan terbang pulang ke Johor. Malangnya, saya terlepas perlawanan JDT tetapi saya bersyukur keluarga saya dan pasukan kami selamat.”
Pada hujung ciapannya di laman X, Tunku Ismail memaklumkan bahawa insiden tersebut merupakan detik terburuk yang pernah dilaluinya.
Tunku Ismail juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan rakan-rakan yang membantu mereka ketika berdepan dengan situasi cemas terbabit.
“Alhamdulillah, kami selamat. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua.” katanya.
Orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan. Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.
Kami membawa kanak-kanak/keluarga ke tempat yang… pic.twitter.com/SG4G558Tvi
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) October 3, 2023
Dalam satu hantaran yang lain, Tunku Ismail memaklumkan bahawa mereka sudah pun selamat tiba di tanah air.
BACA: Waris Dah Boleh Tuntut RM 1000 Di BSN, Ini Syarat Nak Tuntut Skim Khairat Kematian
Sumber: @HRHJohorII via X