Siakap Keli
elon musk disiasat pengambilalihan laman X
Kredi: Bernama

Elon Musk Disiasat Suruhanjaya Sekuriti Amerika, Berkaitan Pengambilalihan X

Elon Musk Disiasat Suruhanjaya Sekuriti Amerika, Berkaitan Pengambilalihan X

Ahli perniagaan terkemuka, Elon Musk dilaporkan disiasat berkaitan urusan pengambilalihan laman X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.

Pada tahun 2022, Musk didapati telah membeli saham dalam Twitter dan kemudian dijenamakan semula dengan nama “X”. Elon menjadi pemilik baharu platform media sosial tersebut selepas membayar kira-kira USD 44 bilion.

Berdasarkan satu fail mahkamah pada Khamis, billionaire tersebut disiasat Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC).

Menurut laporan media antarabangsa, SEC akan berusaha untuk memastikan Musk hadir untuk memberikan keterangan berkenaan urusan tersebut.

Elon disiasat Suruhanjaya Sekuriti

Difahamkan, siasatan ini diadakan untuk menentukan sama ada pengambilalihan tersebut melanggar Undang-undang Sekuriti Persekutuan atau sebaliknya.

SEC berkata pihaknya telah mengeluarkan sapina kepada Elon pada Mei 2023. Dalam sapina berkenaan, Elon perlu memberi keterangan di pejabat SEC yang terletak di San Francisco.

Menurut SEC lagi, Elon memberikan persetujuan untuk hadir memberi keterangan di ibu pejabatnya pada bulan lepas. Walau bagaimanapun, Elon memaklumkan SEC bahawa beliau tidak dapat hadir, dua hari sebelum tarikh pertemuan yang ditetapkan.

Elon juga dilapor enggan melakukan pernyataan bersumpah di Texas, yang dirancang pada Oktober atau November.

SEC dalam pada itu turut mendakwa Elon telah mengemukakan beberapa bantahan yang disifatkan tidak berasas terhadap suruhanjaya tersebut.

Peguam kepada SEC mendakwa, Elon menganggap suruhanjaya itu menggunakan sepina berkenaan untuk mengganggunya. Ia mendorong pemilik Tesla itu enggan mematuhi sepina yang dikeluarkan.

Selain itu, barisan peguamnya memerlukan masa untuk menyemak bahan-bahan yang terkandung dalam sebuah biografi mengenainya yang diterbitkan pada bulan lepas.

Peguam Elon juga menegaskan bahawa SEC telah pun mengambil keterangan anak guamnya beberapa kali sebelum ini dan ia sudah memadai.

Selain memilik X, Elon juga memiliki saham terbesar dalam beberapa perniagaan lain antaranya Tesla dan SpaceX. Aset-aset yang dimiliki beliau juga melayakkannya menjadi Manusia Terkaya Di Dunia menurut Forbes.

BACA: Ramai Tertanya-tanya, Abang Ni Tunjuk Proses Macam Mana Lori Sampah Kosongkan Muatan

Sumber: Astro Awani , CNBC

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma