Siakap Keli
bekas pesakit kanser mikrobiologi
Kredit: BERNAMA

Bekas Pesakit Kanser Tahap Tiga Bercita-cita Jadi Ahli Mikrobiologi

Bekas Pesakit Kanser Tahap Tiga Bercita-cita Jadi Ahli Mikrobiologi

GEORGE TOWN, 8 Okt (Bernama) — Bekas pesakit kanser kelenjar (limfoma) tahap tiga teruja apabila dapat menyambung pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dan menjadikannya selangkah lebih dekat dengan impiannya untuk menjadi seorang ahli mikrobiologi.

Aliff Haikal Ayob, 19, berkata pengalamannya keluar masuk hospital kerana penyakit itu sejak berumur 10 hingga 17 tahun membuatkannya berminat dalam bidang mikrobiologi lalu memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam Sains Biologi.

Anak kelahiran Kedah yang juga seorang anak yatim yang cuma dibesarkan oleh ibunya, Jamilah Mat Hassan, 53, berkata menghidap penyakit kanser bukan penghalang untuknya mencapai keputusan pembelajaran yang baik apabila berjaya memperoleh 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya disahkan menghidap kanser pada 2014, sejurus itu saya diberi cuti sakit selama enam bulan untuk menjalankan kemoterapi dan disahkan bebas daripada penyakit itu pada 2021, namun saya masih perlu membuat pemeriksaan tahunan.

“Saya berharap anak-anak muda yang sihat di luar sana tidak mengambil mudah dalam kehidupan mereka dan terus berusaha dalam pembelajaran agar boleh menjamin masa depan yang cerah,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu kepada wartawan pada Majlis Pendaftaran Pelajar Baru ke USM di sini hari ini.

BACA: Suami Nekad Botakkan Kepala, “Support” Isteri Tersayang Lawan Sakit Kanser

Seorang lagi pelajar yang baru mendaftar di USM hari ini, Soh Pao Hui, 19, bersyukur apabila diterima dalam Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) yang bertujuan memperkasakan generasi pertama dalam keluarga B40 yang belum ada ahli keluarga yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.

Soh menjalani detik hitam dalam hidupnya apabila kehilangan tempat bergantung setelah kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia disebabkan kanser selang beberapa bulan ketika beliau berusia 15 tahun.

Anak kelahiran Johor yang merupakan anak tunggal itu akan melanjutkan pelajaran dalam bidang teknologi makanan di Pusat Pengajian Teknologi Industri dan berharap boleh mendapat pekerjaan yang stabil selepas tamat pengajian agar boleh menyara dirinya.

“Sejak berumur 15 tahun dan kehilangan ibu bapa, saya memilih untuk menetap di rumah peninggalan ayah seorang diri, namun ada ibu saudara yang akan memeriksa keadaan saya dari semasa ke semasa, memberikan saya wang saku dan makanan.

“Walaupun hidup sebatang kara, saya tetap memotivasikan diri saya agar terus cekal dalam pembelajaran sehingga berjaya mendapat keputusan 8A dalam SPM,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Abdul Rahman Mohamed berkata sebanyak 4,696 calon daripada STPM/Matrikulasi/Asasi/Diploma/Setaraf telah menerima tawaran bagi mengikuti program ljazah Sarjana Muda (Penuh Masa) dan Diploma di USM bagi kemasukan pada Sidang Akademik 2023/2024.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana