Siakap Keli
bilik sewa liang lahad
Gambar: Bernama

Bilik Sewa ‘Liang Lahad’: KPKT Akan Ambil Tindakan Tegas – Nga Kor Ming

Bilik Sewa ‘Liang Lahad’: KPKT Akan Ambil Tindakan Tegas – Nga Kor Ming

IPOH, 15 Okt (Bernama) — Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik premis yang menyewakan bilik sewa sempit seumpama ‘liang lahad’ kepada penyewa sekiranya ia tidak mengubahnya kembali kepada bentuk asal.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata sebagai permulaan pihaknya memberi amaran kepada pemilik premis yang telah melanggar peraturan dengan mengubah suai rumah tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Keadaan premis sewa seumpama ini membahayakan nyawa penyewa premis, yang boleh mengundang kepada risiko kebakaran dan juga kesan kepada kesihatan mental

“Sekarang ini saya beri peluang dahulu kepada pemilik premis, sekiranya pihak berkenaan gagal mematuhi undang-undang, kita tidak akan teragak-agak akan mengambil tindakan tegas dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan pasar sementara Pasir Pinji di sini hari ini.

Nga berkata pemilik premis berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133)  Seksyen 79.

BACA JUGA: Kereta Terbakar Dalam Kemalangan, Pemandu Maut

Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan melaporkan tingkat atas sebuah rumah kedai di Lembah Klang yang berkeluasan 21 meter x 6 meter telah diubah suai dengan menempatkan 38 bilik seperti kapsul, dan pintu gelangsar dijadikan sebagai dinding pemisah antara kesemua bilik.

Pemilik premis mengenakan kadar sewa dengan kadar bayaran bermula RM300 dengan keluasan sangat sempit, hanya sedepa tangan selain mempunyai bau yang tidak menyenangkan.

Sementara itu merujuk kepada tinjauannya hari ini Nga berkata pembinaan pasar sementara Pasar Pinji yang bermula sejak 5 Sept lalu melibatkan peruntukan RM1.54 juta dengan penyaluran peruntukan RM1 juta daripada KPKT dan RM540,000 ditanggung bersama oleh Majlis Bandaraya Ipoh.

“Projek ini dijangka mengambil masa enam bulan untuk siap sepenuhnya menjelang Februari tahun depan dan kerja-kerja pemindahan peniaga dari Pasar Pasir Pinji ke pasar sementara akan bermula Mac nanti,” katanya.

Nga berkata Pasar Pasir Pinji yang berusia lebih 50 tahun merupakan pasar lama yang uzur dan daif menempatkan 178 peniaga.

Menurutnya pembangunan semula pasar awam itu dapat meningkatkan kualiti serta taraf kemudahan pasar, perkhidmatan awam dan persekitaran yang lebih selesa kepada pengunjung.

“Pembangunan semula pasar Pasir Pinji ini dapat menyumbang kepada peningkatan tahap sosio ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat. Sumbangan peniaga kecil tidak pernah dipandang remeh oleh KPKT, malah peningkatan ekonomi mikro turut memberi kesan positif kepada ekonomi negara,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?