Siakap Keli
200j Untuk Perkeso
Kredit: Bernama

Suntikan Fiskal Lebih 200j Untuk Perkeso Manifestasi Tekad Kerajaan

KUALA LUMPUR: Enam inisiatif dalam Belanjawan 2024 untuk dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mencerminkan tekad kerajaan untuk memangkin pertumbuhan pekerjaan baharu sekaligus merungkai kelompangan jaringan perlindungan sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’  Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, inisiatif Bina Kerjaya PERKESO, Sokongan Pekerjaan di sektor swasta bagi bekas banduan, Orang Kelainan Upaya (OKU), pesara dan integrasi kumpulan sasaran tersebut ke dalam sektor awam.

Katanya, rangkaian inisiatif itu juga selari hala tuju digariskan kerajaan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang menyasarkan pewujudan 1.34 juta peluang pekerjaan.

“Penekanan kepada inisiatif peningkatan kemahiran dapat membantu pekerja sedia ada dalam sektor tidak formal dan formal bagi melengkapkan diri dalam menceburi peluang pekerjaan baharu.

“Rangkaian peluang kerjaya baharu ini dijangka wujud sejajar peralihan ekonomi ke digitalisasi, tenaga boleh diperbaharui serta pekerjaaan hijau.

“Justeru, galakan YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Sumber Manusia dengan menyediakan insentif menerusi suntikan fiskal dalam Belanjawan 2024 bakal menjadi pemangkin ke arah peningkatan jumlah pekerja berkemahiran tinggi yang akan memenuhi permintaan pasaran buruh di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pembentangan Belanjawan 2024  Jumaat lalu, menyaksikan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM200 juta kepada PERKESO. Ini bagi menerajui pelaksanaan inisiatif merangkumi kepentingan memperkasa jaringan perlindungan sosial dan merancakkan pasaran buruh negara. 

Berdasarkan semakan terhadap portal MYFutureJobs, Dr Mohammed Azman berkata, jumlah pencari kerja wanita bagi tempoh antara Januari hingga 6 Oktober lalu adalah seramai 198,751 orang.  PERKESO juga akan terus berusaha mempertingkat dan memperkasakan lagi portal perkhidmatan pekerjaan negara MYFutureJobs ini untuk manfaat semua lapisan masyarakat bagi mendapat akses pekerjaan lebih mudah menerusi perkhidmatan padanan pekerjaan dan sokongan pekerjaan oleh Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.

Jelasnya, perangkaan ini termasuk pencari kerja wanita yang ingin beralih kepada pekerjaan baharu dan mereka yang sedang menganggur. 

“Berbekalkan inisiatif Belanjawan 2024 seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, ia akan dapat meningkatkan lagi  pembabitan wanita dalam pasaran buruh. Ini selari sasaran 60 peratus kadar penyertaan tenaga kerja wanita seperti direncana dalam Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya. 

Menyentuh komponen memperkasa jaringan perlindungan sosial, Dr Mohammed Azman berkata penekanan kerajaan ketika ini terarah kepada sektor ekonomi penjagaan (care economy) dan individu bekerja sendiri, khususnya bagi penggiat industri gig. Justeru saya berharap kepada semua penyedia platform gig menyambut baik dan memberi perhatian kepada saranan YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Sumber Manusia dalam meningkatkan perlindungan keselamatan sosial kepada dengan mengambil insiatif menanggung baki 10 peratus caruman bagi penggiat gig demi kebajikan mereka.

Selain itu, percaturan kerajaan untuk meningkatkan siling gaji diinsuranskan ke paras RM6,000 berbanding RM5,000 adalah bertepatan kerana peningkatan ini akan meningkatkan faedah tunai kepada kadar 20.2% untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka sekaligus melindungi kebajikan rakyat. 

“Dengan lonjakan peruntukan sebanyak 150 peratus kepada RM50 juta untuk Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR), lebih ramai golongan suri rumah dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah dan miskin tegar dapat dilindungi. 

“Berdasarkan pangkalan data e-Kasih setakat Ogos 2023, kita mempunyai lebih 500,000 suri rumah yang menepati kelayakan Geran Caruman SKSSR, dengan 166,666 sudah didaftarkan ke skim ini.

“Sehubungan itu, baki golongan suri rumah lain yang direkodkan dalam pangkalan data e-Kasih akan berpeluang mendapat tajaan caruman, menerusi peruntukan RM50 juta yang diberikan kerajaan,” katanya. 

Bagi penggiat industri gig pula, Dr Mohammed Azman berkata keputusan menaikkan geran padanan caruman oleh kerajaan kepada 90 peratus, berbanding 80 peratus sebelum ini bakal memberi kelegaan, selain meningkatan pendapatan boleh guna kira-kira 480,000 individu yang berkhidmat di industri dikenali sebagai ekonomi lejang ini.

Beliau berkata, syor kerajaan supaya pengendali platform gig untuk menampung 10 peratus lebihan caruman juga adalah wajar, memandangkan bayaran berkenaan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam aspek kelangsungan kebajikan pekerja.

“Saya yakin, dengan rangkaian inisiatif direncana kerajaan menerusi Belanjawan 2024 berupaya menjadi pemacu perubahan struktur yang perlu kita harungi, terutama selepas pandemik COVID-19,” katanya.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa