Tertinggal Dalam Kereta Lebih 12 Jam, Telur Ayam Dibeli Bertukar Jadi Telur Separuh Masak
Pernah tak kita terfikir bahawa suhu panas di dalam kereta mampu ‘memasak’ sesuatu makanan? Di Malaysia, bacaan suhu di dalam kereta sangat tinggi, lagi-lagi ketika musim panas.
Bayangkan, jika kereta diparkir di luar bangunan dan bukan di bawah teduhan, pastinya suhu dalam kenderaan boleh menjadi sangat panas. Bertambah perit, apabila kerusi kenderaan pula jenis kulit, bila duduk memang rasa terbakar je, kan?
Tak hairanlah, apabila masuk sahaja ke dalam kereta, benda pertama yang kita buat adalah menghidupkan penyaman udara. Biar suhu dalam kereta cepat turun dan menjadikan pemanduan lebih selesa.
Jadi, tak mengejutkan juga jika makanan mentah yang tertinggal di dalam kenderaan boleh masak dengan ‘bantuan’ suhu tinggi ini.
Pengguna TikTok tertinggal telur ayam dalam kereta lebih semalaman, kesemua bertukar menjadi telur separuh masak
Nanie, menerusi TikTok (nanie_azman) baru-baru ini berkongsi kisah tertinggal telur ayam yang dibelinya di dalam kereta selama lebih dari 12 jam.
Dalam video berdurasi 30 saat itu, wanita tersebut menceritakan kisahnya tertinggal bahan masakan tersebut sehingga bertukar menjadi telur separuh masak.
Difahamkan, telur ayam yang dibelinya tertinggal di dalam kenderaan dari waktu malam sehingga 1.00 tengah hari pada keesokannya harinya.
Secara lazimnya, kita akan membuka beberapa biji telur untuk memastikan sama ada telur tersebut masih dalam keadaan elok ataupun rosak.
Namun, hasilnya langung tidak menunjukkan telur tersebut masih elok, pada masa yang sama tidak rosak sehingga langung tidak boleh dijamah.
Kesemua telur yang ditinggalkan didapati menjadi telur separuh masak apabila dipecahkan ke atas mangkuk.
Menurut Nanie, dia telah membeli 24 biji telur dalam satu interaksinya bersama pengguna TikTok lain di ruangan komen.
@nanie_azman habis telur jadi separuh masak😭😭 #fypシ #fail #failcooking #halfboiledeggs
Rupanya ramai lagi yang pernah mengalami situasi yang sama
Menelusuri ruangan komen, rupanya ramai lagi pengguna TikTok di Malaysia yang pernah mengalami situasi yang sama dengan Nanie.
Ada yang berkata bahawa telur separuh masak itu boleh dimakan, hanya perlu meletakkan beberapa bahan seperti kicap dan lada.
“Cantik punya setengah masak tu… Masak rata macam kedai mamak buat…,” komen pengguna cipkhalil.
“Takyah susah-susah nak rebus sis. Tinggal letak kicap dengan lada sulah je tu. Ngap terus masuk mulut,” komen pengguna ekinhelmi91.
Selain itu ada juga pengguna yang berseloroh dengan mengaitkan situasi telur ayam tadi dengan keadaan suami yang ‘disidai’ isteri sewaktu membeli belah.
“Bayangkan kami suami tunggu dalam kereta masa wife masuk kedai eco,” komen pengguna kilatcall.
BACA: Kenali Konvensyen Geneva, Undang-undang Setiap Pihak Berperang Kena Patuh
Sumber: nanie_azman via TikTok