Siakap Keli
kutipan tabung aakrp
Gambar: Bernama

Kutipan Tabung AAKRP kini RM81 Juta, Hampiri Sasaran – PM Anwar

Kutipan Tabung AAKRP kini RM81 Juta, Hampiri Sasaran – PM Anwar

PUTRAJAYA, 19 Okt (Bernama) — Kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar kini berjumlah RM81 juta, menghampiri sasaran RM100 juta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada majlis penyampaian sumbangan tabung AAKRP di sini hari ini, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kutipan besar dalam tempoh masa singkat itu menunjukkan soladiriti Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Beliau memberi jaminan bahawa AAKRP itu akan dipastikan disalur terus untuk perubatan, makanan, minuman serta kemudahan asas untuk rakyat Palestin yang terjejas ketika ini.

“Saya terharu dalam masa singkat dengan dana awal kita dapat kumpul lebih RM80 juta yang akan memenuhi matlamat diumumkan peringkat awal iaitu RM100 juta. Ini menunjukkan keprihatinan dan terima kasih kepda syarikat kerajaan, swasta dan syarikat bukan Islam,” kata beliau.

Tabung AAKRP diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan telah menyumbang RM10 juta dana awal tabung itu.

Antara penyumbang terbesar untuk AAKRP hari ini adalah Khazanah Nasional Bhd serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu RM15 juta, Yayasan Albukhary RM15 juta dan YTL Corporation Bhd RM5 juta.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas iaitu pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak.

BACA JUGA: Konflik Palestin-Israel: Guru Sekolah Al-Quran Malaysia Di Gaza Terkorban

Anwar turut mengingatkan pihak yang mengutip derma untuk rakyat Palestin supaya sentiasa bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri masing-masing.

“Saya ingin nasihat rakan-rakan di masjid atau surau kutip wang kena ada tanggungjawab dan ia perlu diurus dengan cekap. Jangan ambil kesempatan bina mahligai masing-masing.

“Badan sukarela jangan belanja begitu tinggi untuk keindahan pejabat, dana ini untuk bantuan kemanusiaan,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menyeru rakyat Malaysia supaya menyumbang mengikut saluran yang betul bagi mengelak wang disumbang disalah guna pihak tidak bertanggungjawab

“Ini isu perikemanusian, penyaluran (dana) itu baik (perlu) lebih telus dan lebih bertanggungjawab dalam penyaluran,” kata beliau.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali.

Sumber: BERNAMA 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?