Siakap Keli
Sukan Olimpik

Misi Penting Ke Sukan Olimpik, Ini ‘Planning’ Untuk Atlet-Atlet Elit Raih Pingat Emas

Walaupun negara kita telah menyertai temasya Sukan Olimpik sejak 1956, namun kita masih lagi kempunan untuk menyaksikan kontinjen negara kita membawa pulang pingat emas ke tanah air.

Dalam 16 penampilan di sukan berprestij dunia itu, Malaysia hanya berjaya merangkul 8 pingat perak dan 5 pingat gangsa. 

Namun, Sukan Olimpik Rio 2016 menjadi saksi atlet-atlet negara kita mempamerkan aksi paling terbaik dalam sejarah Olimpik negara di mana Malaysia membawa pulang 4 pingat perak dan 1 gangsa.

Bagi meningkatkan lagi usaha untuk merangkul pi­ngat emas pertama negara menjelang Sukan Olimpik, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membentuk pasukan projek yang dinamakan Road To Gold (RTG).

Sukan Olimpik

Pasukan RTG, Usaha Raih Emas Pertama Negara 

Bagi yang tidak tahu, projek Road To Gold oleh KBS ini dibentuk sebagai satu usaha negara bagi meraih pingat emas pertama di pentas Sukan Olimpik.

Satu jawatankuasa RTG turut ditubuh dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Belia dan Sukan YB Hannah Yeoh serta YBhg. Tan Sri (Dr.) Norza Zakaria, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Namun, dengan baki tempoh kurang setahun sahaja bagi menghadapi Olimpik Paris 2024, mampukah pasukan RTG mencapai misi besar ini?

Sukan Olimpik

Usah khuatir, ini kerana jawatankuasa RTG akan bekerjasama dengan Program Podium sedia ada di mana ia memberi tumpuan kepada program persediaan atlet-atlet elit meliputi:

  • latihan harian 
  • latihan di luar negara 
  • lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara
  • penyediaan khidmat jurulatih dan kakitangan sokongan
  • perkhidmatan sains sukan dan perubatan 
  • program bina diri

Jawatankuasa RTG yang dianggotai oleh gabungan pentadbir dan bekas atlet akan memperkasakan Program Podium sedia ada. Ianya diketuai oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) melalui pemantauan di peringkat Kementerian.

Sukan Olimpik

Selain itu, jawatankuasa ini juga akan membina kerjasama strategik secara aktif dengan sektor korporat agar mereka turut terlibat dalam projek nasional utama ini.

Lebih menarik lagi, personaliti atlet utama negara iaitu Datuk Nicol Ann David, Datuk Wira Lee Chong Wei dan legenda hoki, Dato’ Mirnawan bin Datuk Haji Nawawi turut mewarnai senarai jawatankuasa RTG. 

Sukan Olimpik

Mereka dipilih atas kepakaran serta pengalaman mereka yang luas dalam arena sukan negara. Malahan, pemilihan mereka boleh menjadi satu ‘jambatan kukuh’ antara jawatankuasa dengan atlet RTG yang dipilih.

Senarai Jawatankuasa RTG:

Pengerusi bersama:

  • YB Hannah Yeoh
  • YBhg. Tan Sri (Dr.) Norza Zakaria
  • YBhg. Datuk Haji Hamidin bin Haji Mohd. Amin (Ahli Majlis FIFA), Chef de Mission
  • YBhg. Datuk Nicol Ann David, Timbalan Chef de Mission

 Ahli Jawatankuasa:

  • YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan
  • En. Ahmad Faedzal bin Mohd. Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN)
  • YBhg. Dato’ Ahmad Najmi bin Abdul Razak
  • YBhg. Datuk Wira (Dr.) Lee Chong Wei
  • YBhg. Dato’ Mirnawan bin Datuk Haji Nawawi
  • Datuk Stuart Ramalingam (Ahli Lembaga Pengurusan MSN), Penyelaras Projek
  • Pn. Michelle Chai, Pembantu Penyelaras Projek

Dengan kewujudan program RTG ini, kita dapat lihat bahawa Malaysia semakin serius dalam usaha mencipta sejarah di Sukan Olimpik.

Berdasarkan senarai atlet yang dipilih pula, kebanyakannya boleh dikatakan sebagai prospek terbaik serta menjadi sandaran.

Sukan OlimpikDiharapkan agar program RTG ini dapat menyuntik semangat baharu kepada atlet-atlet yang terpilih dan secara tidak langsung membuka peluang merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia yakni ‘membutirkan’ pingat emas Sukan Olimpik.

Sebarang info mengenai program RTG boleh diketahui di www.kbs.gov.my dan ikuti semua platform media sosial KBSMalaysia.

Adib Mohd