Siakap Keli
Gambar: FAM

Aksi Harimau Malaya-Kyrgyztsan Kekal Di Stadium Nasional Bukit Jalil

Aksi Harimau Malaya-Kyrgyztsan Kekal Di Stadium Nasional Bukit Jalil

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Stadium Nasional Bukit Jalil dikekalkan sebagai venue aksi sulung kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya dan Kyrgyzstan pada 16 Nov ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahman berkata ketetapan itu dibuat selepas penilaian terkini badan induk itu di stadium berkenaan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Hans Isaac dan ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon, selain turut disertai Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, Khamis lepas.

“Pihak PSM menerusi pandangan dan nasihat pihak konsultan teknikal serta kontraktornya mengesahkan bahawa padang berkenaan kini dalam keadaan lebih baik berbanding ketika Pestabola Merdeka bulan lepas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata keputusan untuk bermain di stadium itu turut mengambil kira faktor lain terutamanya memberi kemudahan kepada penyokong Harimau Malaya untuk menghadiri perlawanan.

“Dengan pengesahan terbaru ini, segala persiapan menjelang perlawanan akan terus dipergiatkan untuk memastikan kelancarannya,” katanya.

Pan Gon dalam kenyataan semalam turut menyatakan hasrat supaya perlawanan itu berlangsung di Stadium Nasional sebagai kubu skuad kebangsaan.

Kualiti rumput baharu di stadium itu menerima kritikan pada Pestabola Merdeka bulan lepas, yang juga merupakan kejohanan pertama diadakan di situ selepas ditutup sejak Mac bagi kerja naik taraf.

Usai pertemuan dengan Kyrgyzstan, pasukan negara akan terbang ke Taipei City untuk perlawanan kedua Kumpulan D menentang Taiwan, 21 Nov ini.

Malaysia yang menghuni ranking ke-137 dunia, dijadualkan bertemu pasukan ke-72 dunia Oman di tempat lawan dan di laman sendiri, masing-masing pada 21 dan 26 Mac tahun depan sebelum berdepan Kyrgyzstan di Bishek pada 6 Jun dan Taiwan (11 Jun) di Malaysia.

Dua pasukan terbaik kumpulan akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan layak ke Piala Asia, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan bermain dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

Piala Dunia 2026 akan dihoskan Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat secara bersama dengan format baharu 48 pasukan, berbanding 32 pasukan sebelum ini.

Juara tiga kali Arab Saudi akan menjadi tuan rumah Piala Asia buat kali pertama pada 2027.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.