Siakap Keli
Silibus Susah

Isu Silibus Susah, Bila Malaysia Nak Jadi Macam Norway? Apa KPM Buat?

Dalam beberapa tahun terakhir, kebimbangan mengenai kesulitan kurikulum sekolah, terutamanya dalam pengajaran mata wang asing sejak darjah 3, telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam masyarakat. “Anak-anak bukan robot, baru darjah satu dah kena gasak dengan silibus susah, “ Ini antara komen yang diambil daripada media sosial.

Ditambah pula dengan pengaruh media sosial sekarang yang memberi imej bahawa kejayaan dan kekayaan boleh dicapai tanpa pendidikan formal. Secara kasarnya, “Banyak lagi cara boleh ‘hidup’ kalau tak sekolah.” Kesannya? Kita mungkin akan ketandusan professional bilamana mereka lebih mengejar kerjaya ‘gig economy’, lebih rela menjadi penghantar makanan daripada makan gaji.

KPM ke yang salah?

Siapa sangka angkara pandemik terdahulu, kebiasaan guru-guru berubah 180 darjah. Antaranya, guru tiada ketersediaan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR). Manakan tidak, hampir 80% guru menyatakan bahawa cabaran utama ialah memastikan keberadaan murid semasa kelas berlangsung, diikuti dengan cabaran dalam menyesuaikan kaedah pengajaran dengan keperluan dan kesediaan murid, di samping hendak memastikan murid memberi tumpuan, murid faham, murid seronok belajar dengan bilangan murid seramai 30 hingga 40 dalam setiap kelas. Belum lagi masalah internet, emosi para murid dan lain-lain.

Sehingga tular rungutan dan luahan segelintir ibu bapa di media sosial ketika fenomena gangguan pembelajaran itu berlaku. Ianya sedikit-sebanyak dirasakan seperti menambah beban ibu bapa kerana terpaksa terlibat sama dalam proses PdPR sekaligus merasakan silibus sedia ada terlalu sukar.

1. KPM bertindak cepat laksana program Modul Bimbingan (MOBIM) bantu guru, sebagai pencetus idea

Bertitik tolak daripada masalah diatas, KPM telah melancarkan beberapa tindakan jangka pendek yang SK akan hurai satu-satu, salah-satunya adalah MOBIM. MOBIM adalah Modul Bimbingan yang dihasilkan bertujuan untuk membantu guru memantapkan pelaksanaan KSSR (Semakan 2017).

MOBIM digarap dalam masa empat (4) bulan iaitu, sejak November 2022, sebagai panduan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) berdasarkan peruntukan waktu yang telah ditetapkan.

Bermula Mac 2023, modul ini telah tersebar luas ke semua sekolah di Malaysia bermula dengan Tahun Satu dan akan sampai kepada Tahun Dua serta seterusnya secara berperingkat sehingga selesai.

Modul ini bertindak sebagai panduan dan pencetus idea kepada guru untuk merancang dan melaksanakan aktiviti PdP yang menarik dan berkesan untuk mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Bagaimana cara guru-guru menggunakan MOBIM?

Beberapa kajian telah menunjukkan terdapat murid kurang menguasai isi pelajaran disebabkan faktor kepelbagaian murid di dalam bilik darjah. Dalam konteks pendidikan, hal ini tidak akan selesai sehingga wujudnya kaedah pengajaran yang baru, tiada lagi gaya “one-size-fits-all”.

Oleh itu, bagi membantu guru dalam menangani masalah murid di dalam bilik darjah dan guru dapat mengaplikasikan bentuk pengajaran yang dapat melengkapi keperluan murid yang pelbagai, strategi dan pendekatan baru melalui MOBIM ini diperkenalkan antaranya seperti:

-Visual, Auditori dan Kinestetik (VAK)

– Concrete, Pictorial dan Abstract (CPA)

-Ansur Maju

-Pedagogi Terbeza

-Didik Hibur

-Pembelajaran Masteri

-Penggabungjalinan Kemahiran

-Penggabungjalinan Kemahiran Saintifik

Ringkasnya, MOBIM ini disediakan utk membantu guru melaksanakan PdP dengan berkesan menggunakan bahan maujud, gambar, abstrak dan permainan yang menarik mint murid.

Modul ini merupakan panduan agar mencapai matlamat pelaksanaan kurikulum dengan peruntukan waktu dan bahan sumber sedia ada. Cadangan aktiviti adalah fleksibel bersesuaian dengan keupayaan murid, kemudahan fasiliti dan kesediaan bahan bantu mengajar di sekolah masing-masing. Guru juga boleh mengadaptasi dan menambah baik mengikut kreativiti dan daya inovasi tersendiri.

Kaedah PdP lebih seronok dan mudah faham

Jujur, ketika SK diberi kesempatan melihat sendiri MOBIM untuk keempat-empat subjek, modul ini dirasakan lebih “hands on” dengan pendekatan pengajaran bahan-bahan maujud, penerapan model VAK serta pendekatan lain yang boleh membina kefahaman dan membantu penguasaan murid dalam setiap subjek. Ia juga secara tak langsung, membantu menjadikan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan kepada murid.

Menariknya MOBIM ini, guru juga boleh mendapatkan akses video, audio, lembaran kerja dan platform digital untuk aktivit dan penjelasan pengajaran yang lebih interaktif.

Antara respon guru.

Orang awam atau ibu bapa boleh melihat sendiri kesemua modul MOBIM melalui link ini atau boleh terus layari saluran YouTube Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM seperti dibawah.

Bagaimana MOBIM sampai ke semua 31, 116 guru Tahun 1?

Strategi penataran MOBIM ini dilakukan dengan pelaksanaan bengkel sebanyak dua fasa. Bengkel Kerja Strategi Pemantapan Pelaksanaan KSSR (Semakan 2017) melibatkan seluruh 31, 116 guru Tahun 1 di seluruh negara yang dilaksanakan dengan kapasiti Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing dengan keterlibatan dua jurulatih utama bagi setiap mata pelajaran.

Jika setiap daripada pembaca SK ini berpeluang untuk “explore” MOBIM, pastinya anda akan lebih faham dengan silibus sedia ada. Mungkin kerana ianya masih baru, ramai yang merasakan silibus susah tetapi dengan MOBIM, proses penerangan dan pembelajaran guru kepada murid akan lebih baik. Masalah tak cukup masa? MOBIM sudah digarap berdasarkan peruntukan waktu yang ideal.

Silibus yang anak-anak kita belajar sekarang ini sudah setanding Singapore, UK, Jepun dan negara maju lain. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 ini sesuai dengan zaman, kemajuan dan aras murid-murid zaman sekarang. Pendek kata, sesuai untuk generasi akan datang bersaing secara global.

Negara maju lain silibus mereka dah terkedepan. Takkan kita yang sedang menyaingi cuba undur ke belakang?

2. Inisiatif lain, sesi libat urus dengar suara ibu bapa

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebenarnya memandang serius isu kesukaran silibus yang disuarakan oleh ibu bapa sejak kebelakangan ini. Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, KPM akan mengadakan sesi libat urus untuk mengambil dan mempertimbangkan pendapat daripada pelbagai pihak demi memastikan masalah tersebut dapat ditangani.

Libat urus ini adalah sebagai persediaan untuk kitaran silibus baharu. Mana-mana isu yang disentuh akan dipanjangkan dan dikupas. Setakat ini, seramai 1,600 orang yang terdiri daripada guru, pensyarah, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri telah dilibatkan dalam 21 sesi libat urus dan pelaksanaan Konvensyen Kurikulum.

Inisiatif ini membolehkan mana- mana subtopik yang terlalu berat dan tidak selari dengan keperluan semasa murid di dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) akan dinilai semula.

3. KPM buat survey online tapi ramai tak tahu

KPM telah melaksanakan Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 yang dianjurkan secara dalam talian mulai 25 Ogos hingga 15 September 2023 menerusi pautan https://bit.ly/KurikulumKita2027

Tinjauan itu dilaksanakan bagi mendapatkan makluma balas serta pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan berkaitan pelaksanaan kurikulum semasa dan kurikulum persekolahan 2027.

Terbaru, memetik satu kenyataan, menteri Fadhlina Sidek memberitahu tinjauan ini bertujuan mendapatkan input-input bagi memperkukuhkan sistem pendidikan negara melalui proses libat urus yang lebih meluas.

“Apatah lagi, sekarang ini kita nak beri tumpuan kepada pentaksiran holistik kepada anak-anak kita khususnya pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan antaranya karakter (murid) boleh diperkukuhkan,” katanya

Dengan kata lain, KPM sentiasa berusaha untuk terus memastikan murid dan guru berada dalam ekosistem kurikulum yang membangun potensi akademik dan sahsiah. Langkah-langkah ini adalah langkah positif untuk memastikan pendidikan di Malaysia terus relevan dan memberi sokongan kepada perkembangan holistik anak-anak.

Kesimpulannya, silibus susah bukan lesen kita “hina” ilmu. Sudah sampai masanya satu perubahan dilakukan dalam sistem pendidikan, perubahan dunia yang perlu diikuti, ‘Teaching and learning 21st century’.

Orang selalu tanya bila sekolah di Malaysia nak jadi macam negara luar seperti Norway, Finland, Australia, New Zealand atau UK, tetapi apabila kita bergerak ke arah itu, mulalah ada yang kata, apa KPM buat? Apa yang perlu dilakukan apabila ada kekangan, ialah buat yang terbaik dalam lingkungan kekangan itu. Ia tidak sempurna tetapi KPM pastikan ia lebih baik.

Nur Farra