Siakap Keli
gauze gaza
Gambar: AFP

Kenali “Gauze”, Fabrik Diguna Dalam Perubatan Untuk Balut Luka, Dipercayai Berasal Dari Gaza

Kenali “Gauze”, Fabrik Diguna Dalam Perubatan Untuk Balut Luka, Dipercayai Berasal Dari Gaza

Sepanjang peradaban manusia, banyak inovasi berjaya dihasilkan yang memberi manfaat kepada kehidupan sehingga ke saat ini.

Ada inovasi yang dihasilkan ratusan atau ribuan tahun dahulu masih bertahan dan digunakan oleh manusia moden. Salah satunya adalah gauze fabric ataupun disebut sebagai kain kasa.

Kain kasa ini boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk. Selain itu, ia juga digunakan di dalam dunia perubatan secara meluas, salah satunya untuk membalut (dressing) luka.

Namun begitu, ramai yang tidak tahu bahawa kain kasa ini sebenarnya dipercayai berasal dari Gaza, Palestin. Jadi kali ini, kami ingin berkongsi dengan anda serba sedikit sejarah hadiah ‘pemberian’ Gaza kepada dunia ini.

Asal usul kain kasa

Menurut pengkaji, kain kasa boleh ditemui seawal kurun ke-13 dan dipercayai berasal dari kawasan di Timur Tengah, lebih tepat lagi di wilayah Gaza.

Pada tempoh berkenaan, Gaza merupakan salah satu wilayah terkenal mengeluarkan kain kasa. Fabrik ini mula mendapat tempat dalam masyarakat dunia apabila ia dibawa ke Eropah.

Dalam pada itu, berdasarkan Ensiklopedia Britannica, nama gauze sendiri dipercayai berasal daripada nama tempat asal usulnya, Gaza.

Dalam pendapat yang berbeza, gauze juga dipercayai berasal daripada perkataan Arab dan Parsi iaitu ‘Qazz’. Perkataan tersebut membawa maksud sutera mentah.

Menurut portal Green Nettle Textile, pendapat itu muncul kerana sutera merupakan bahan terawal yang digunakan oleh penduduk di Gaza untuk menenun kain kasa.

Bagaimanapun, seiring peredaran zaman dan sutera menjadi semakin mahal, penenun beralih kepada kapas untuk menghasilkan kasa.

Penghasilan kain kasa yang ditenun menggunakan kapas kekal sehingga ke hari ini dan menjadi pilihan utama kerana kosnya yang lebih rendah.

Pada hari ini, ada juga kain kasa yang dihasilkan daripada bahan sintetik.

Kain kasa untuk membalut luka

Fizikal kain kasa yang sangat breathable menjadikan fabrik ini ideal untuk digunakan sebagai penyaring dan penapis.

Walau bagaimanapun penggunaan kain kasa menjadi lebih terkenal apabila mula diaplikasikan dalam dunia perubatan. Kualiti yang ada pada kain kasa menjadikan fabrik ini sangat sesuai digunakan sebagai pembalut luka.

Kerana tekstur kain kasa yang sangat lembut dan membenarkan pengudaraan yang baik, fabrik ini dikatakan tidak akan menyebabkan kawasan luka mengalami iritasi.

Selain bermanfaat dalam dunia perubatan, kain kasa juga digunakan secara meluas dalam penghasilan pakaian.

BACA: Dah Macam Transformer, Viral Tiga Ekskavator ‘Berkelahi’ Tengah Kebun Raih Tumpuan Ramai

Sumber: Britannica, Green Nettle Textile, Fabric Lore

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma