Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pemain Bola Sepak Ghana, Raphael Dwamena Meninggal Dunia
Bekas penyerang kebangsaan Ghana, Raphael Dwamena, dilaporkan meninggal dunia pada usia 28 tahun akibat mengalami serangan jantung sewaktu perlawanan liga Albania antara kelab KF Egnatia dan FK Partizani semalam, lapor AFP .
Perkara itu disahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Albania dalam satu kenyataan rasmi.

“Pasukan perubatan di padang membawanya (Dwamena) ke hospital namun disahkan meninggal dunia,” maklum badan persekutuan bola sepak tersebut.
Persekutuan Albania juga memutuskan untuk menunda kesemua perlawanan liga pada Sabtu bagi mengenang pemergian pemain itu.
Seorang penganalisis bola sepak Albania, Endi Tufa menyifatkan Dwamena hidup untuk bermain bola sepak.
Gambar Untuk Dwamena
Pemergian Dwamena juga mendapat perhatian dari bekas kelab bola sepaknya, FC Zurich (Switzerland).
Kelab tersebut telah menerbitkan gambar hitam putih Dwamena di laman web mereka sebagai tanda penghormatan kepada bekas pemain kelab tersebut.
“Berehatlah dengan tenang Raphael Dwamena! Kamu akan sentiasa menjadi salah seorang daripada kami!” tulis kelab dari Switzerland itu.
Mempunyai Beberapa Komplikasi Jantung
Sepanjang menyarung jersi kebangsaan Ghana, Dwamena memperolehi lapan caps (perlawanan) dan pernah dianggap sebagai salah seorang bintang yang bakal menjadi titik tolak kebangkitan bola sepak negara itu.
Walau bagaimanapun, penyerang itu berdepan beberapa komplikasi jantung sepanjang kerjaya sebagai pemain profesional.
Pada 2017, Dwamena gagal menyertai kelab dari Liga Perdana Inggeris (EPL), Brighton akibat masalah kesihatan yang dihadapinya. Sehubungan itu, dia mengambil keputusan untuk berkelana ke Sepanyol.
Pada 2021, pemain kelahiran Ghana itu dilaporkan rebah sewaktu perlawanan antara pasukannya BlauWeiss Linz dan Hartberg dalam kejohanan Piala di Austria.
Bagaimanapun, dia dilaporkan pulih dan kembali meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak.
Pada 2020, Dwamena telah menjalani pembedahan jantung automatik defibrilator. Ia bertujuan untuk membolehkannya meneruskan karier bola sepak.
Sebelum menyertai pasukan dari liga Albania, KF Egnatia pada Januari tahun ini, pemain berusia 28 tahun itu telah bermain di liga Denmark, Austria dan Switzerland.
Dwamena merupakan penjaring terbanyak semasa musim ini di liga Albania dengan sembilan gol.
Sumber: AFP