Siakap Keli
Gambar: Bernama

Wajarkah Muslim Terima Undangan Makan Sempena Hari Deepavali? Ini Jawapan Mufti Wilayah

Wajarkah Muslim Terima Undangan Makan Sempena Hari Deepavali? Ini Jawapan Mufti Wilayah

Setiap individu yang tinggal di Malaysia tentunya dapat melihat variasi keunikan agama dan kepercayaan yang dianuti oleh komuniti setempat bersesuaian dengan gelarannya sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Jadi tidak hairan, setiap tahun, Malaysia mempunyai pelbagai perayaan yang bakal disambut oleh setiap agama tersebut misalnya untuk kaum Melayu yang menganuti agama Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Manakala kaum lain seperti Cina menyambut Perayaan Tahun Baru China.

Pada 12 November 2023 (hari ini), kaum India menyambut Hari Deepavali. Seperti yang sedia maklum, tinggal dalam kejiranan yang berbilang bangsa membuka mata kita tentang keunikan agama lain.

Namun, timbul persoalan, adakah wajar untuk seorang muslim untuk menerima undangan makan sempena sambutan Deepavali?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini.

Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

SOALAN                  

Assalamualaikum. Saban tahun, Majlis Rumah Terbuka Perayaan Deepavali diadakan. Begitu juga, saya tidak terlepas daripada menerima undangan makan sempena perayaan tersebut memandangkan saya mempunyai tali persahabatan dengan kejiranan kaum India. Persoalannya, wajarkah saya menolak undangan tersebut ? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Asasnya umat Islam tidak wajib menghadiri undangan non-muslim. Akan tetapi, ia dibenarkan dalam kerangka menjalinkan hubungan baik dan harmoni. Terdapat garis panduan yang mesti diikuti oleh kaum muslim ketika menghadiri majlis undangan keagamaan orang non – Muslim :

  • Menjamu makanan yang diyakini halal.
  • Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam disamping tidak mengiktiraf syiar agama mereka.
  • Majlis tersebut tidak disertakan aktiviti ritual agama mereka.

BACA JUGA: Hukum Menunaikan Hajat Isteri Mengidam Pelik-Pelik

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Dalam konteks kehidupan masyarakat yang berbilang kaum, sudah pasti berlaku interaksi sama ada dalam urusan kerja, perniagaan, kejiranan dan sebagainya. Agama Islam yang didasari nilai rahmah amat menitikberatkan hubungan harmoni sesama masyarakat tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan agama selagi mereka bukan daripada kalangan orang yang memusuhi agama Islam. Bahkan galakan berkelakuan baik dan berlaku adil terhadap non-muslim berdasarkan firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمْ يُقَٰتِلُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوٓا۟ إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

Surah al-Mumtahanah: (8)

Dalam Fatwa Lajnah Daimah juga dinyatakan bahawa Interaksi yang berlaku antara orang Islam dengan golongan non-Muslim dalam urusan keduniaan seperti makan dan minum bersama orang kafir, menghadiri majlis mereka, jual beli, atau urusan-urusan lain yang diharuskan, maka hal ini dibenarkan di sisi syarak selagi mana ia tidak mendatangkan mudarat kepada orang Islam[1].

Hukum Memenuhi Undangan Makanan Non-Muslim

Umat islam diharuskan menerima undangan makanan golongan non-Muslim sekiranya tidak membawa kepada perkara haram atau mendatangkan ancaman akidah kepada seseorang. Ini berdasarkan kepada satu riwayat bahawa pada suatu hari seorang wanita datang bertemu Aisyah RA bertanyakan sesuatu:

إِنَّ لَنَا أَطيارًا مِنَ الْمَجُوسِ، وَإِنَّهُ يَكُونُ لَهُمُ الْعِيدُ فَيُهْدُونَ لَنَا؟ فَقَالَتْ: أَمَّا مَا ذُبِحَ لِذَلِكَ الْيَوْمِ فَلاَ تَأْكُلُوا، وَلَكِنْ كُلُوا مِنْ أَشْجَارِهِمْ

Maksudnya: “Kami mempunyai jiran daripada orang Majusi, mereka merayakan perayaan keagamaannya maka mereka menghadiahkan (makanan) kepada kami? Aisyah menjawab: “Adapun apa yang disembelih untuk tujuan hari (perayaan) itu, maka jangan kamu makan, tetapi makanlah apa yang berasal daripada pokok-pokok mereka (buah-buahan).”

(Musannaf Ibn Abi Shaybah, 24737)

BACA JUGA: Hukum Sertai Maraton Dianjur Syarikat Riba, Ini Kata Dr Zulkifli

Dalam hadis yang lain, Anas RA meriwayatkan daripada Nabi SAW:

‏أَنَّ يَهُودِيًّا ‏ ‏دَعَا النَّبِيَّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏إِلَى خُبْزِ شَعِيرٍ ‏ ‏وَإِهَالَةٍ ‏ ‏سَنِخَةٍ ‏ ‏فَأَجَابَهُ ‏

Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki Yahudi menjemput Nabi SAW untuk memakan roti gandum dengan acar yang hangat, lalu Nabi memenuhi undangannya.”

(Musnad Ahmad)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa harus memenuhi undangan makan daripada non-Muslim, akan tetapi asasnya fuqaha tidak mewajibkan menerima undangan tersebut.[2]

Seterusnya, umat Islam juga dibolehkan untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh non-Muslim (bukan ahli kitab) seperti Hindu, Sikh, Budha dan selainnya selagi mana makanan itu adalah halal dan bukannya daripada hasil sembelihan mereka. Perbahasan lanjut pada pautan berikut:

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/961-al-kafi-564-hukum-memakan-makanan-yang-dimasak-oleh-non-muslim-bukan-ahli-kitab

Oleh yang demikian, dalam memenuhi undangan non-Muslim, perkara yang mesti dititikberatkan ialah tidak melakukan apa-apa aktiviti keagamaan. Bahkan haram mengiktiraf syiar serta mengagungkan hari perayaan mereka kerana dikhuatiri seorang muslim boleh jatuh ke lembah kekufuran.[3]

Penutup

Berikut merupakan garis panduan yang mesti diikuti oleh kaum muslim ketika menghadiri majlis undangan keagamaan orang bukan islam:

  1. Memilih makanan yang halal dan baik ketika majlis perayaan keagamaan.
  2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
  3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan serta aktiviti-aktiviti yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

Sehubungan itu, kepelbagaian budaya, agama dan bangsa tidak menafikan hubungan harmoni yang melibatkan persahabatan, kejiranan, kemasyarakatan dan sebagainya. Hal ini merupakan peluang untuk menyampaikan nilai Islam melalui hubungan baik sesama mereka. Selain itu, memenuhi undangan non-Muslim dengan pengharapan kehadiran kita dapat melembutkan hati mereka memeluk Islam melalui hubungan yang baik.

Wallahu A’lam

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"